SHAH ALAM, 3 OKT: Perjalanan Misi Global Sumud Flotilla (GSF) gelombang pertama menuju Gaza berakhir selepas kapal Marinette dipintas pihak berkuasa Israel.
Aktivis kemanusiaan Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, walaupun ditahan, para aktivis yang menyertai misi berkenaan telah berjuang sehingga ke saat akhir sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin.
"Bermakna berakhirlah perjalanan seluruh peserta GSF gelombang pertama kita pada kali ini. Alhamdulillah, mereka berjuang dengan Sumud sehingga ke saat akhir.
"Kini tiba tugas para peguam Adalah dan tugas kita, menekan sehingga semua peserta dibebaskan dan genosid dihentikan. Bangkit!!” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis yang berterusan.
GSF mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.
Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai warganegara, termasuk Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain, Malaysia, Perancis serta ramai lagi.