SHAH ALAM, 3 OKT: Dua lelaki yang ditahan kerana disyaki menghalang tugas polis ketika perhimpunan aman pro-Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 23 dan 32 tahun itu dilepaskan selepas keterangan mereka diambil untuk siasatan lanjut, lapor Sinar Harian.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, polis menghargai kebebasan berhimpun namun peserta dinasihatkan mematuhi undang-undang serta arahan anggota keselamatan bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar.
“Polis Kuala Lumpur sentiasa bersedia membantu melancarkan mana-mana perhimpunan susulan tindakan Israel menahan Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kekecohan tercetus apabila peserta himpunan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di bahagian mulut selepas disiku seorang peserta.