SHAH ALAM, 1 OKT: Sebuah kapal tentera Israel dilaporkan menghampiri Global Sumud Flotilla yang sedang belayar menuju Gaza, menurut hantaran Instagram Thiagoavilabrasil.
Dalam hantaran itu dinyatakan, kapal tentera terbabit dikatakan mengugut dan menggunakan taktik membahayakan dengan mengelilingi bot utama flotilla, Alma dan Sirius, sekali gus merosakkan peralatan elektronik kumpulan tersebut.
“Walaupun berlaku kerosakan pada peralatan elektronik, tiada siapa yang cedera dan kami terus belayar ke Gaza untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan,” menurut hantaran tersebut.
Kumpulan itu menegaskan mereka meneruskan pelayaran bagi tujuan kemanusiaan walaupun berdepan gangguan tersebut.
Sumud Nusantara Official sebelum ini memaklumkan konvoi berkenaan berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan peningkatan aktiviti dron di ruang udara laluan misi.
Situasi itu disifatkan sebagai tanda cabaran semakin getir sedang dihadapi peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Sementara itu, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) pada Selasa menjangkakan flotilla terbabit akan memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam, iaitu sekitar Rabu jam 7 malam waktu Malaysia.