Hadiah RM1,000 masuk universiti, Selangor cadang tambah penerima kepada 5,000

6 Ogos 2026, 3:13 AM
Hadiah RM1,000 masuk universiti, Selangor cadang tambah penerima kepada 5,000

SHAH ALAM, 6 OGOS: Selangor bercadang meningkatkan jumlah penerima Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 5,000 pelajar pada tahun depan berbanding 3,000 penerima tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah permohonan HPIPT pada 2025 dan 2026 masing-masing menunjukkan permintaan tinggi apabila melebihi 5,000 permohonan, sekali gus mendorong Kerajaan Negeri melihat semula jumlah penerima sedia ada.

“Dapatan kita terutama dua tahun terakhir 2025 dan 2026 jumlah permohonan anak-anak masuk universiti lebih 5,000 orang.

“Justeru Kerajaan Negeri sedang menilai dengan hasil Selangor yang berpadanan meningkaykan jumlah penerima mungkin boleh mencecah 5,000 hingga 6,000 orang.

“Kita pernah memberikan sumbangan kepada 5,000 orang suatu ketika dulu dan insya-Allah kita akan kembalikan jumlah itu pada tahun hadapan dalam Belanjawan Selangor 2027,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurutnya, selain jumlah penerima, Kerajaan Negeri turut mengambil kira tempoh permohonan HPIPT bagi memastikan pelajar mempunyai masa mencukupi untuk mengemukakan permohonan selepas menerima pengesahan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, antara perkara yang sering dibangkitkan pemohon ialah tempoh permohonan yang agak singkat sebelum ini, menyebabkan sebahagian pelajar tidak mempunyai ruang masa mencukupi untuk melengkapkan proses permohonan.

“Perkara ini akan kita teliti supaya tempoh permohonan dapat disesuaikan dengan kemasukan pelajar ke universiti dan proses pengesahan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mempertimbangkan untuk membuka permohonan HPIPT dua kali setahun bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar yang mendaftar pengajian pada tempoh berbeza.

HPIPT adalah bantuan RM1,000 diberikan kepada pelajar Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf.

Bantuan tersebut layak untuk pelajar di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda.


Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.