SEREMBAN, 2 OKT: Seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di sini semalam sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.19 tengah hari, ketika mangsa berusia 10 tahun sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.
“Mangsa dihantar ke pusat perubatan oleh guru disiplin, namun doktor yang merawat mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah sebelum dibawa ke pusat perubatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Rembau hari ini bagi menentukan punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden itu.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus.
“KPM pada peringkat ini memberi tumpuan kepada proses psikososial serta sokongan emosi kepada murid dan guru di sekolah berkenaan,” katanya.