KPM perkukuh pembangunan sekolah, pastikan setiap murid terima pendidikan berkualiti

14 Jul 2026, 5:53 AM
KPM perkukuh pembangunan sekolah, pastikan setiap murid terima pendidikan berkualiti

SEREMBAN, 14 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memperkukuh pembangunan sekolah sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang negara bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pembangunan sekolah tidak hanya tertumpu kepada penyediaan bangunan dan kemudahan fizikal, sebaliknya memastikan akses pendidikan dapat terus dinikmati oleh anak-anak selaras dengan perubahan serta perkembangan komuniti.

Beliau berkata pendekatan itu menjadi antara asas utama Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, yang memberi penekanan kepada peluang pendidikan saksama dalam persekitaran pembelajaran yang berkualiti, selamat dan mampu mengembangkan potensi murid sepenuhnya.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh pembangunan semua jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara, termasuk Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).

“Tanggungjawab kami ialah memastikan setiap perubahan membuka lebih banyak peluang serta akses kepada anak-anak untuk mendapat pendidikan berkualiti,” katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Labu Bahagian 4 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Khalidah Omar dan Pengarah Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad Kelvin Lee.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan bersama Matrix Concepts Holdings Berhad dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) akan membina sebuah sekolah baharu dengan kos RM9 juta bagi menggantikan SJKT Ladang Labu Bahagian 4 yang dipindahkan ke tapak Malaysia Vision Valley (MVV) yang dijangka siap pada 2028.

Fadhlina berkata sekolah itu dibina di atas tapak seluas 2.4 hektar yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal, sekali gus lebih hampir dengan kawasan pembangunan baharu bagi meningkatkan akses pendidikan kepada penduduk setempat.

“Sekolah baharu ini mempunyai bangunan empat tingkat yang dilengkapi 12 bilik darjah, 15 bilik khas, dua kelas prasekolah, dewan serbaguna, kantin, pondok pengawal dan padang sekolah.

“Kemudahan baharu itu dijangka menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih lengkap dan kondusif kepada murid serta warga sekolah, selain menyokong perkembangan ilmu, kemahiran dan sahsiah pelajar,” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan pendidikan bergerak seiring dengan pertumbuhan kawasan baharu serta mempersiapkan generasi masa depan menghadapi cabaran dunia yang semakin dinamik.

SJKT Ladang Labu Bahagian 4 yang ditubuhkan pada 1947 menjadi tempat anak-anak komuniti mendapatkan pendidikan selama hampir lapan dekad.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.