SHAH ALAM, 21 SEPT: Lelaki berusia 39 tahun ditemukan meninggal dunia dalam tandas sebuah stesen minyak di Taman Tronoh Baru, Tronoh hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.20 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah kemudian digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera tiba pada jam 2.34 petang selepas bergerak kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati polis bersama pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah berada di tempat kejadian.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 39 tahun berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dalam tandas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Sabarodzi berkata mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai KKM.
“Pasukan operasi kemudian melakukan kerja mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.







