Di sebuah bengkel kecil di Shah Alam, bunyi halus gear dan detik jarum berpadu menjadi irama yang menyalakan impian seorang anak Malaysia.
Zainal Mohd Ali, 73, membawa pengalaman lebih 50 tahun mereka bentuk jam tangan mewah untuk jenama antarabangsa seperti Titoni, Tag Heuer, Swiss Army, Rado, Tissot dan Certina.
Berbekalkan kepakaran itu, beliau menubuhkan Fateh Watches, jenama tempatan yang kini menawan pasaran dunia.
Minatnya terhadap seni membuat jam bermula ketika berusia 21 tahun, selepas ditawar kursus kejuruteraan mikro di sebuah anak syarikat Patek Philippe berpangkalan di Geneva, Switzerland.
“Saya pun tak tahu kursus apa. Bila sampai sana, baru tahu buat jam. Di sana kebanyakan masa saya di bahagian pembuatan. Saya belajar buat jam, daripada kosong sampai jadi jam,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mendalami seni pembuatan jam selama dua tahun di bumi Eropah sebelum bekerja di zon industri bebas cukai Sungai Way dekat Petaling Jaya.
Tiga dekad kemudian, Zainal merantau ke Taiwan dan China, menyelia lebih 2,000 pekerja serta menggandakan pengeluaran jam hingga 300,000 unit setahun.
Bina jenama sendiri
Namun kerinduan tanah air memanggil. Pada 2016, Zainal pulang dengan tekad membina empayar jam tangan jenama sendiri.
“Saya dah lama buat jam untuk orang. Apa salahnya buat jenama sendiri,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Nama Fateh diilhamkan anak bongsunya, Muhammad Fitry, 31, yang mengagumi keberanian Sultan Uthmaniyah, Sultan Muhammad Al-Fateh.
Bersama anaknya, lulusan Reka Bentuk Perindustrian Universiti Teknologi MARA, mereka melancarkan model pertama Discovery pada 2017.

Tanpa pengalaman pemasaran, Zainal memulakan langkah berani, menjual sendiri di pasar tani dan surau.
“Mula-mula saya jual di Pasar Tani Seksyen 13 (Shah Alam). Ada orang kata mana boleh laku. Masa itu jam saya jual harga RM300. Saya cakap ini rezeki Allah yang beri,” katanya.
Elemen warisan Melayu
Perlahan-lahan, Fateh Watches menambat hati peminat, termasuk ahli politik dan selebriti.
Keunikan jam tangan Fateh terletak pada sentuhan seni dan warisan Melayu. Elemen wau bulan, songket, batik dan bunga raya disemat kemas dalam setiap rekaan.
“Jam ini seni. Kita kenalkan warisan Malaysia ke negara luar,” ujar Zainal, yang merancang menambah motif Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Bangunan Sultan Abdul Samad pada koleksi akan datang.
Pesanan kini datang dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pelanggan tempatan pula terdiri daripada artis, orang kenamaan, ahli perniagaan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
Setiap jam mekanikal Fateh, dengan lebih 50 komponen, mampu diwarisi generasi seterusnya jika dijaga rapi.
“Kalau jaga baik, jam ini boleh kekal sehingga ke anak cucu,” tambahnya.
Cabaran dilalui Zainal bukan kecil. Setiap reka bentuk jam mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan. Malah, beliau pernah berdepan karyanya ditiru.
“Jangan beli jam tiruan. Kalau mahu yang cantik, simpan dulu sampai mampu beli yang asli. Satu reka bentuk ambil enam bulan, bukan sehari. Susah dibuat, jadi janganlah senang-senang salin (ciplak),” katanya.
Visinya melangkaui perniagaan. Zainal berazam menubuhkan akademi horologi pertama di Malaysia, menggabungkan teori, kejuruteraan mikro dan reka bentuk.
Baginya, Fateh Watches bukan sekadar penunjuk masa tetapi simbol ketekunan, seni mikro dan cita-cita menempatkan Malaysia sebaris Switzerland dalam dunia horologi.