Kutipan hasil Selangor cecah RM1.6 bilion, kewangan negeri masih kukuh

15 Jun 2026, 10:00 AM
Kutipan hasil Selangor cecah RM1.6 bilion, kewangan negeri masih kukuh

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor merekodkan kutipan hasil sejumlah RM1.6 bilion daripada jumlah keseluruhan sasaran RM2.8 bilion hingga akhir bulan Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencapaian tersebut masih menunjukkan trend positif walaupun prestasinya tidak sekuat seperti yang dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Dengan hasil lebih kurang RM1.6 bilion sekitar akhir bulan Mei, kita belum tekan ‘panic button’. Kerajaan Negeri sentiasa pantau dengan cuba menggerakkan sebaik mungkin kutipan-kutipan hasil melalui realisasi tanah dan juga pelaburan yang datang ke Selangor.

“Setakat ini, negeri juga mempunyai lebihan RM300 juta perbelanjaan dari keseluruhan hasil. Maknanya, agak sihat kedudukan kewangan negeri, walaupun tidak sekuat tahun lepas. Saya yakin negeri dapat mencapai RM2.8 bilion dengan pemantauan (krisis Asia Barat) secara mingguan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Daya Tahan Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, tengah hari tadi.

Amirudin menambah pelaksanaan Pakej Daya Tahan yang diumumkan Kerajaan Negeri tidak memberi tekanan besar kepada kedudukan kewangan kerana ia melibatkan penyusunan semula peruntukan terhadap program atau inisiatif sedia ada.

“Beberapa langkah penjimatan yang digariskan Kementerian Kewangan turut membantu mengukuhkan pengurusan fiskal negeri, termasuk mengehadkan aktiviti rasmi di luar negara, mengurangkan penganjuran majlis keraian serta pembatalan program berskala besar sempena sambutan Aidilfitri.

“Kita masih mempunyai masa untuk menilai keperluan tambahan dana dalam pakej daya tahan ini mengikut anggaran kedudukan rizab negeri masih baik dengan memasukkannya dalam perancangan Belanjawan 2027 pada November depan jika perlu,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.