Pelancongan domestik melonjak, Selangor kekal destinasi utama dikunjungi

16 Jun 2026, 6:37 AM
Pelancongan domestik melonjak, Selangor kekal destinasi utama dikunjungi
Pelancongan domestik melonjak, Selangor kekal destinasi utama dikunjungi
Pelancongan domestik melonjak, Selangor kekal destinasi utama dikunjungi
Pelancongan domestik melonjak, Selangor kekal destinasi utama dikunjungi

PUTRAJAYA, 16 JUN: Sektor pelancongan domestik Malaysia merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada 2025 dengan jumlah perbelanjaan pelawat domestik meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion berbanding RM106.7 bilion pada 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan Survei Pelancongan Domestik (DTS) Malaysia 2025 itu yang diterbitkan DOSM hari ini, pertumbuhan perbelanjaan berkenaan disokong oleh peningkatan perbelanjaan kedua-dua kategori pelawat, iaitu pelancong dan pelawat harian, yang masing-masing mencatat pertumbuhan 14.6 peratus dan 12.2 peratus.

Beliau berkata perbelanjaan pelancongan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan sumbangan 59.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelawat domestik.

Mohd Uzir berkata sejajar dengan trend positif itu, jumlah pelawat domestik meningkat 11.5 peratus kepada 290.1 juta orang pada tahun lalu berbanding 260.1 juta orang pada 2024.

“Purata bilangan hari menginap juga meningkat kepada 2.56 malam berbanding 2.49 malam pada tahun sebelumnya, mencerminkan kecenderungan yang lebih tinggi dalam kalangan pelawat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pelancongan domestik dan tinggal lebih lama di setiap destinasi di dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata prestasi kukuh pelancongan domestik turut disokong oleh peningkatan permintaan perjalanan semasa musim perayaan utama dan cuti umum termasuk Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, serta cuti persekolahan.

Beliau berkata kempen galakan pelancongan di bawah inisiatif Tahun Melawat Negeri di beberapa negeri turut menggalakkan aktiviti perjalanan antara negeri dan perbelanjaan di destinasi.

Selain itu, Mohd Uzir berkata kalendar acara kebudayaan dan pelancongan yang pelbagai seperti Pesta Kaamatan di Sabah dan sambutan Gawai Dayak di Sarawak menarik pergerakan pelawat yang ketara serta menyumbang kepada aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan.

Beliau berkata penganjuran konsert berskala besar, festival, pameran serta kejohanan sukan juga menggalakkan perjalanan domestik sepanjang tahun, di samping peranan Malaysia sebagai tuan rumah kepada beberapa mesyuarat ASEAN dan program berkaitan turut meningkatkan aktiviti perjalanan perniagaan dan acara serta lain-lain perkhidmatan berkaitan pelancongan di seluruh negara.

Berdasarkan perspektif corak perjalanan, Mohd Uzir berkata ia menunjukkan majoriti pelawat domestik masih bergantung pada pengangkutan darat yang merangkumi 97.5 peratus daripada keseluruhan perjalanan domestik pada 2025.

Dari segi jenis penginapan, katanya, rumah saudara-mara dan rakan kekal menjadi pilihan utama dengan sumbangan 56.2 peratus daripada jumlah pelancong.

Beliau berkata bagaimanapun, penggunaan penginapan berbayar terus meningkat dengan mencatat sumbangan 43.8 peratus pada tahun lalu berbanding 39.6 peratus pada 2024, dan daripada jumlah itu, hotel menjadi pilihan utama dengan sumbangan 23.1 peratus.

Mohd Uzir berkata dari segi destinasi, Selangor kekal sebagai negeri paling banyak dikunjungi pelawat domestik pada tahun lalu dengan 36.4 juta pelawat, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 35.1 juta pelawat dan Perak berjumlah 23.6 juta pelawat.

Secara keseluruhan, katanya, sektor pelancongan domestik Malaysia mencatat pertumbuhan berterusan pada 2025 yang disokong oleh peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan pelancongan dan tempoh purata penginapan, sekali gus mengukuhkan peranan sektor itu dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi setempat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.