ad

71 kes buang sampah dikesan melalui CCTV, PJ Watch diperluas di kawasan panas

1 Okt 2025, 7:55 AM

SHAH ALAM, 1 OKT: Inisiatif PJ Watch bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah haram yang menjejaskan imej serta kebersihan bandar akan diteruskan, kata Datuk Bandar Petaling Jaya.

Menurut Mohamad Zahari Samingon, program berkenaan dilaksanakan secara bersasar melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan rondaan anggota penguat kuasa di lokasi berisiko tinggi.

“Sehingga September lalu, sebanyak 71 kes dikesan menerusi CCTV membabitkan 40 individu, 28 kenderaan dan tiga premis syarikat.

“Selain itu, sebanyak 348 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MBPJ 2007 telah dikeluarkan dengan 120 tangkapan dibuat, melibatkan 62 individu, 12 kenderaan dan 46 syarikat,” katanya.

Berucap dalam Mesyuarat Penuh MBPJ semalam, beliau memaklumkan pemantauan akan diteruskan di beberapa kawasan tumpuan seperti Seksyen 17, Kota Damansara dan PJU 1A.

Mohamad Zahari berkata, PJ Watch merupakan langkah penting memastikan Petaling Jaya kekal bersih dan bebas pencemaran, sambil menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram untuk tindakan segera pihak berkuasa.