SHAH ALAM, 14 SEPT: Tiga pemilik kenderaan dikompaun selepas dikesan membuang sampah di tempat awam sekitar Klang menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan kesalahan berkenaan dikesan di Taman Sentosa, Bukit Kuda dan Bandar Bukit Tinggi hasil pemantauan CCTV.
MBDK dalam kenyataan berkata, pemilik kenderaan terbabit kemudian dikenal pasti menerusi operasi carian yang dijalankan pihak berkuasa tempatan berkenaan.
“Ketiga-tiga pemilik kenderaan yang dikenal pasti mengaku melakukan kesalahan dan dikenakan tindakan kompaun,” menurut MBDK.
Bagi kes di Taman Sentosa, sebuah kenderaan dirakam membuang sampah domestik pada 2 Ogos lalu sebelum pemiliknya berjaya dikesan pasukan penguat kuasa.
“Pemilik terbabit kemudian dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2007,” katanya.
Dalam tindakan berasingan, sebuah lagi kenderaan dikesan melakukan kesalahan sama di Bukit Kuda sebelum pemiliknya dikenal pasti dan mengaku melakukan perbuatan tersebut.
MBDK memaklumkan pemilik kenderaan berkenaan turut dikenakan tindakan kompaun di bawah peruntukan sama.
Sementara itu, rakaman CCTV di Bandar Bukit Tinggi pada 4 Ogos turut membantu MBDK mengenal pasti pemilik sebuah kenderaan yang membuang sampah di tempat awam.
Pemilik berkenaan mengaku melakukan kesalahan, dikenakan kompaun serta diberikan nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.
“MBDK akan terus mempertingkat tindakan penguatkuasaan melalui pemantauan CCTV dan operasi carian kenderaan bagi memastikan kebersihan kawasan bandar sentiasa terpelihara,” tegas MBDK.







