ad

Wartawan imbau detik dikurung Israel, dinding sel banyak lakaran tahanan Palestin

4 Okt 2025, 3:10 AM
Wartawan imbau detik dikurung Israel, dinding sel banyak lakaran tahanan Palestin
Wartawan imbau detik dikurung Israel, dinding sel banyak lakaran tahanan Palestin

SHAH ALAM, 4 OKT: Melaporkan situasi sebenar serta menyampaikan mesej kemanusiaan menjadi tanggungjawab utama wartawan TV3 Halim Mohamed ketika menyertai misi kapal kargo Rachel Corrie ke Gaza pada 2010.

Menurut Halim, beliau hadir bukan sekadar wartawan, tetapi juga sukarelawan Islam yang menentang sekatan haram Israel dan membawa amanah rakyat Malaysia membantu Gaza.

"Masa ditahan kami ditempatkan dalam sel seperti pusat tahanan imigresen. Ada katil dua tingkat, makanan asas roti dan air mineral diberikan bersama berus gigi. Di dinding sel ada lakaran mural dipercayai hasil tahanan Palestin sebelum kami.

"Saya berada kira-kira tiga hingga empat hari dalam tahanan. Dari pelabuhan terus disoal siasat, kemudian ditahan sehingga hari keempat sebelum dibebaskan dan dihantar ke Jordan untuk pulang ke tanah air," katanya.

Beliau turut mengimbau bagaimana setiap tahanan dipanggil seorang demi seorang untuk disoal siasat.

"Perasaan bercampur-baur dirasai. Rasa bangga kerana dapat menyatakan solidariti terhadap Palestin, tetapi pada masa sama timbul rasa takut, sedih dan bimbang memikirkan nasib diri serta keluarga kerana berada di negara asing tanpa perlindungan diplomatik.

“Namun akhirnya saya reda kerana sedar ia sebahagian daripada perjuangan dan tanggungjawab," katanya kepada Media Selangor.

Mengulas penahanan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel, Halim mengakui kebimbangan utama pastinya tertumpu kepada keluarga aktivis terbabit.

"Sudah tentu yang paling risau ketika ini ialah keluarga tahanan, suami, isteri dan anak-anak mereka. Justeru, kita serahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menguruskan perkara ini sebaik-baiknya, manakala peranan kita adalah terus memberi sokongan kepada pihak berkuasa dan NGO terlibat.

"Mesejnya jelas, sekatan Israel di darat, udara dan laut adalah haram, dan flotilla membuktikan masyarakat dunia berani menentangnya," tegasnya.

Namun beliau optimis kerajaan Malaysia bersama NGO berkaitan sedang berusaha melalui saluran diplomasi tertinggi bagi memastikan pembebasan segera, selain menyifatkan bantahan rakyat di Kuala Lumpur dan tempat lain sebagai isyarat solidariti berterusan.

"Di peringkat kerajaan sendiri rundingan sedang berjalan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan beliau sudah berhubung dengan beberapa pemimpin tertinggi dunia bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan.

"Namun apa yang berlaku ini tidak harus mematahkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Semangat solidariti tidak boleh luntur walaupun berdepan halangan. Rakyat Malaysia dan umat Islam harus terus bersuara mengenai kezaliman rejim Zionis Israel terhadap Palestin di Gaza dan Tebing Barat," katanya.

Melalui hantaran di Facebook baru-baru ini, detik cemas yang dilalui sukarelawan GSF mengingatkan kembali pengalaman Halim yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kapal kargo Rachel Corrie pada 2010.

Dalam insiden 15 tahun lalu itu, kapal kargo membawa bantuan simen, ubat-ubatan, pakaian dan makanan dirampas tentera Israel kira-kira 55 kilometer dari pantai Gaza, sebelum semua peserta ditahan di Pelabuhan Ashdod.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata semua sukarelawan Malaysia yang ditahan di Ashdod, Israel dijangka dibawa keluar menerusi penerbangan dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, mereka akan dibawa ke Istanbul atau Ankara hasil daripada rundingan peringkat antarabangsa.

Keratan akhbar melaporkan Israel menawan kapal kargo Rachel Corrie yang membawa sejumlah tan simen, ubat, makanan serta pakaian. Foto Facebook Halim Mohamed