SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri akan menganjurkan jelajah ke sembilan daerah bagi mencari 5,000 sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata siri jelajah tersebut turut disertai beberapa agensi termasuk Majlis Belia Selangor serta Penggerak Belia Selangor
“Untuk sukarelawan SUKMA nanti, kita sasarkan 5,000 individu yang mana mereka akan diberi kursus pengurusan acara dan protokol.
“Pendaftaran dibuka bermula hari ini di Konvensyen Belia Selangor dan pencarian sukarelawan selama dua bulan. Selain fizikal, pendaftaran sukarelawan selepas ini akan diadakan secara dalam talian,” katanya selepas merasmikan konvensyen tersebut hari ini.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.
Sebanyak sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Mohd Najwan yang juga pengerusi SUKMA Selangor menjelaskan pihaknya individu menetap di luar Selangor juga boleh memohon menjadi sukarelawan temasya dwitahunan itu.
“Kita tidak terhadkan sukarelawan tetapi keutamaan adalah untuk rakyat Selangor. Mereka boleh membuat pendaftaran kerana sukan ini dijalankan di seluruh Selangor bukan Petaling sahaja,” katanya.