SHAH ALAM, 18 JUN: Brunei Darussalam sah menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen pada temasya sukan terbesar negara yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan negara jiran itu disahkan ketika kunjungan hormat beliau ke atas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei, Pengiran Dato' Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha di Bandar Seri Begawan hari ini.
Menurutnya, penyertaan Brunei dijangka menambah daya saing pertandingan selain memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama serantau yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
"Brunei bersetuju menghantar sejumlah atlet mereka untuk ke SUKMA Selangor nanti sebagai simbol hubungan persahabatan yang terjalin erat dan menyokong usaha pembangunan atlet muda di kedua-dua negara secara amnya.
"Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Pengiran Dato' Seri Setia Shamhary kerana menyokong usaha ini sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen pada SUKMA Selangor kali ini," katanya menerusi kenyataan.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor Dato' Mohd Yazid Sairi serta Ketua Pegawai Operasi Sekretariat, Mohamad Nizam Marjugi.
Untuk rekod, Brunei pernah mengambil bahagian dalam SUKMA Sarawak 2024 dan berjaya meraih satu pingat emas menerusi acara wushu. Pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur pula, kontinjen itu menamatkan saingan dengan kutipan dua pingat perak dan dua gangsa.
SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.
Temasya edisi ke-22 itu akan menggunakan 52 venue pertandingan di sembilan daerah seluruh Selangor dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan serta swasta, selain Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.







