ad

Konvensyen Belia Selangor julung kali himpun 500 peserta, persiap pemimpin masa depan

30 Sep 2025, 9:06 AM
Konvensyen Belia Selangor julung kali himpun 500 peserta, persiap pemimpin masa depan
Konvensyen Belia Selangor julung kali himpun 500 peserta, persiap pemimpin masa depan

SHAH ALAM, 30 SEPT: Konvensyen Belia Selangor yang julung kali diadakan hari ini, menumpukan pelbagai pengisian termasuk aspek keusahawanan, kepimpinan dan sukan.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata acara yang menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri pemimpin belia peringkat universiti, kolej dan menengah itu turut memberi penekanan mengenai cabaran pada masa kini dan mendatang yang memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

“Selangor merupakan negeri semakin menua dan perlu untuk menyediakan pelapis-pelapis yang boleh mengemudi pada 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Oleh itu, kita laksana konvensyen ini yang dilengkapi dengan semua aspek supaya dapat menyiapkan generasi pimpinan anak muda bukan hanya terlibat dalam kepimpinan tetapi dalam bidang korporat, pendidikan dan ekonomi,” katanya selepas merasmikan konvensyen bertemakan Merencana Generasi, Membentuk Peradaban di Dewan Raja Muda Musa di sini,

Terdahulu, antara pengisian konvensyen tersebut adalah forum kepimpinan bersama Ahli Dewan Negeri (ADN), forum keusahawanan bersama ikon perniagaan serta forum belia dan sukan yang menampilkan atlet ternama, pemain bola sepak Selangor FC dan penggiat e-sukan.

Antara yang hadir ialah pemain bola sepak Faisal Halim, ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid serta usahawan dan selebriti Datuk Rosyam Nor.

Mohd Najwan turut memaklumkan konvensyen dianjurkan pejabatnya dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor itu akan diteruskan tahun hadapan dengan pengisian lebih menarik.

“Tahun hadapan kita anjurkan lagi dengan mengembangkan lagi program…bukan hanya memfokuskan anak muda sahaja.

“Kita mungkin perluaskan lagi dengan anjurkan karnival keusahawanan dan kesukanan yang menyasarkan penyertaaan lebih ramai,” katanya.