ad

Abang tak sempat temankan adik daftar pengajian, meninggal dunia secara mengejut

29 Sep 2025, 5:32 AM
Abang tak sempat temankan adik daftar pengajian, meninggal dunia secara mengejut

IPOH, 29 SEPT: Hasrat seorang abang menghantar adik perempuannya mendaftar pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim bertukar tragedi apabila meninggal dunia secara mengejut ketika dalam perjalanan, semalam.

UPSI memaklumkan Nik Mohamad Syahrul Azzim Nik Yusoff, 29, yang dalam perjalanan dari Seremban ke Tanjong Malim, tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri ketika kereta dipandunya tiba di Plaza Tol Sungai Besi kira-kira 6.30 pagi.

"Dalam keadaan cemas itu, adiknya Nik Nur Maisarah, 18, yang duduk di sebelah pemandu sempat menggenggam stereng bagi mengelak kenderaan mereka merempuh plaza tol.

“Walaupun terbabas, dia bersama seorang lagi kakak yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” menurut UPSI dalam kenyataan hari ini.

Nik Mohamad Syahrul yang juga alumni universiti pendidikan itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mati mengejut tanpa tanda awal penyakit.

Jenazah dibawa pulang ke Seremban dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest High, disaksikan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan lama.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti amat duka cita dengan kejadian itu.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham dan UPSI bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah kebajikan dan sokongan emosi mahasiswa juga menjadi keutamaan kami, lebih-lebih lagi dalam situasi kehilangan seperti ini.

"Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga UPSI yang melihat Allahyarham sebagai alumni cemerlang," katanya.

- BERNAMA