Lelaki maut dalam stor bukan kakitangan universiti

7 Apr 2026, 7:41 AM
Lelaki maut dalam stor bukan kakitangan universiti

SHAH ALAM, 7 APRIL: Lelaki yang meninggal dunia terperangkap dalam stor di sebuah fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pagi tadi bukan kakitangan universiti.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata lelaki itu yang berusia 53 tahun adalah pekerja syarikat UPSI Sports Bowling yang beroperasi dalam kawasan kampus universiti itu.

Menurutnya dalam kenyataan di Facebook, kematian lelaki itu dipercayai akibat serangan jantung namun keputusan rasmi tertakluk keputusan bedah siasat Hospital Slim River.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.57 pagi daripada polis bagi mendapatkan bantuan membuka pintu stor yang berkunci.

Menurut Sabarodzi, mangsa didapati terperangkap dalam bilik stor peralatan pembersihan yang berkunci dan disahkan maut di lokasi.

Sementara itu, Pengurus UPSI Sports Bowl, Dzulkarnain Sapian berkata lelaki itu disedari berada di stor terbabit selepas isterinya berusaha mencari kerana tidak pulang ke rumah dan usaha menghubungi juga gagal.

Kemudian, beliau bersama-sama isteri mangsa dan seorang petugas cuba membuka pintu stor itu yang kebiasaannya tidak berkunci, namun sukar dibuka kerana didapati kepala mangsa berada di sebalik pintu berkenaan sehingga menyebabkannya tersangkut dan tidak dapat dibuka sepenuhnya.

"Selalunya, stor yang simpan barang-barang cleaning ini kecil sahaja, tak pernah berkunci. Pintu bukan terkunci tetapi tertahan oleh kepala mangsa, apabila pihak keselamatan UPSI berjaya masuk, baru kita boleh betulkan kedudukan arwah.

"Dia ada mengadu dengan isterinya petang semalam katanya dia sakit kepala. Itu sahaja yang saya tahu," katanya dihubungi, lapor Berita Harian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.