ad

Selangor lantik lapan ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas

29 Sep 2025, 4:27 AM
Selangor lantik lapan ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas
Selangor lantik lapan ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas
Selangor lantik lapan ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas
Selangor lantik lapan ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan Selangor melantik lapan ahli jawatankuasa bebas hari ini bagi menyiasat insiden letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata penubuhan jawatankuasa tersebut selaras dengan komitmen negeri untuk memastikan ketelusan dan keselamatan awam menjadi keutamaan dalam menangani sebarang insiden melibatkan infrastruktur kritikal.

“Jawatankuasa bebas ini dianggotai oleh pakar teknikal, ahli akademik dan profesional industri berkaitan yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan pihak yang terlibat secara langsung dengan insiden ini.

“Pelantikan ahli jawatankuasa mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan akan memulakan siasatan serta-merta selama satu atau dua bulan hingga laporan siasatan lengkap dan siap sepenuhnya,” katanya.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi mengadakan sidang media selepas pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Putra Height di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bercakap pada sidang media di pejabat pentadbiran negeri, beliau memaklumkan tujuan utama jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kebakaran dan letupan paip gas di lokasi berkenaan.

“Selain itu, ia untuk menilai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dan mengesyorkan langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“Laporan siasatan lengkap akan dibentangkan jawatankuasa yang dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Dr Khamarrul Azahari Razak kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Najwan turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, bebas dan telus dengan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Berikut senarai lapan ahli jawatankuasa bebas yang dilantik:

Pengerusi:

1) Dr Khamarrul Azahari Razak (Felo Penyelidik Kanan Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT)

Ahli:

2) Dato’ Ir Ts Mohd Taufik Haron (Pengarah IKRAM Works Sdn Bhd)

3) Profesor Madya Dr Mohd Zahirasri Mohd Tohir (Jabatan Kejuteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuteraan Universiti Putra Malaysia)

4) P.Geol Dr Mohamad Anuri Ghazali (Pengarah Urusan Geo Mag Engineering)

5) Ir Muhamad Her Jantan (Persatuan Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Jurutera Malaysia)

6) TPr Abdul Hamid Akub (Naib Presiden Pertubuhan Perancangan Malaysia)

7) P.Geol Juzaili Azmi (Ahli Geofizik Kanan UGEO Solutions Sdn Bhd)

8) Ts Shahronizam Noordin (Pengurus Tugas Khas, Pejabat Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH)

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.