SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Selangor melaksanakan pelbagai latihan simulasi kecemasan bagi meningkatkan kesiapsiagaan agensi serta pihak berkuasa menghadapi sebarang kejadian luar jangka.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata, latihan tersebut melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin ketika berdepan situasi kecemasan.
“Ini juga berdasarkan pengalaman kejadian di Putra Heights tahun lalu, kita berdepan insiden luar jangka. Kita tak pernah jangkakan berlakunya letupan paip gas di kawasan tersebut.
“Sebab itu kita lakukan latihan simulasi. Kita nak pastikan selepas ini, kalau ada insiden seperti ini, semua pihak bersedia ikut kemahiran masing-masing. Kita nak bersedia dari pelbagai aspek, bukan tertumpu keselamatan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program penyerahan baucar Jom Shopping Perayaan Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik di sini, hari ini.

Menurut Mohd Najwan, latihan simulasi berkenaan dilaksanakan di pelbagai lokasi berisiko termasuk pelabuhan, lapangan terbang, kawasan perindustrian serta stesen minyak.
Katanya, langkah itu penting bagi menambah baik proses penyelamatan sedia ada serta memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing ketika berlaku kecemasan.
“Ini untuk kita tambah baik proses menyelamat yang sedia ada. Sebelum ini kita buat simulasi libatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pelabuhan Klang, di mana situasinya lanun menculik mangsa,” katanya.
Selasa lalu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohamed memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling turut melaksanakan beberapa latihan simulasi bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden kecemasan.
Antara latihan dijalankan termasuk senario serangan gas beracun di Lapangan Terbang Subang, kebakaran di stesen minyak di Seksyen 27, latihan pemindahan penduduk secara berskala besar di SS19 Subang Jaya serta simulasi penculikan rombongan VIP dari luar negara.








