ad

Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja

28 Sep 2025, 7:41 AM
Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja
Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja
Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja
Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja

SHAH ALAM, 28 SEPT: Jenazah bonda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Hajah Esah Tahar yang meninggal dunia pagi tadi selamat dikebumi di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini pada jam 2.45 petang.

Jenazah Allahyarhamah tiba di Makam Diraja pada jam 1.42 petang selepas dimandi dan dikafankan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Solat jenazah turut dilakukan di masjid sama yang diimamkan Imam Besar Muhammad Farhan Wijaya selepas Zohor.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menunaikan solat jenazah sebelum menyaksikan pengebumian Allahyarhamah yang turut dihadiri keluarga DYMM Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Turut berangkat ke upacara pengebumian itu ialah Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir; Pengerusi Majlis Agama Islam (Mais), Dato’ Salehuddin Saidin; Pengarah Jabatan Agama Islam (Jais), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad serta Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga berkenan menyiram air mawar selepas bacaan talkin yang dipimpin Muhammad Farhan selesai.

Hajah Esah kembali ke rahmatullah akibat sakit tua di sebuah hospital di Damansara pada usia 82 tahun jam 5.15 pagi tadi.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengucapkan salam takziah kepada Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.