SHAH ALAM, 28 SEPT: Dato’ Menteri Besar menzahirkan sembah takziah kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor atas pemergian bonda Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pagi tadi.
Mewakili rakyat negeri ini, Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta seluruh kerabat diraja dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam berdepan dugaan ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman,” kata beliau menerusi Facebook.
Pagi tadi, bonda Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Hajah Esah Tahar meninggal dunia akibat sakit tua di sebuah hospital di Damansara.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office, Allahyarhamah berusia 82 tahun menghembuskan nafas pada jam 5.15 pagi.
Jenazah allahyarhamah akan dikebumikan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Zohor.