KLANG, 28 SEPT: Kerja kotor, sukar dan berbahaya tidak pernah mematahkan semangat petugas KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) yang saban hari memastikan longkang, jalan dan persekitaran sentiasa bersih.
Bagi penyelia tapak KDEBWM Ahmad Zakuwan Ismail atau mesra disapa Ben, 30, tugasan membersih longkang dan mengurus aduan orang ramai bukan sekadar pekerjaan tetapi khidmat kepada masyarakat.
“Ramai fikir kerja kami hanya kutip sampah, tetapi hakikatnya lebih daripada itu. Kami bersihkan kawasan, jaga saliran dan bantu penduduk. Ini kerja mulia, khidmat awam yang beri manfaat terus kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui sempena Hari Pembersihan Dunia 2025 Pihak Berkuasa Tempatan Selangor semalam.

Belia berkata setiap Isnin adalah cabaran terbesar kerana aduan bertambah selepas cuti pengutipan pada Ahad.
“Kami perlu turun padang terangkan kepada penduduk, mereka faham. Kerja ini bukan sekadar fizikal, tapi juga urus hubungan dengan komuniti,” jelasnya.
Seorang lagi petugas, Mohd Hisham Sahayat, 51, mengendalikan lori catch basin cleaner (CBC) yang menyedut sisa pepejal dari longkang tersumbat.
“Lori ini amanah saya sejak tiga tahun lalu. Setiap hari saya ikut jadual, ke lokasi ditetapkan dan pastikan kerja siap sempurna.
“Walau dikategorikan kerja 3D (kotor, sukar dan berbahaya), saya bangga kerana ia kerja halal dan bermanfaat,” katanya.

Katanya, tidak wajar berasa malu kerana setiap kerja ada pulangannya.
“Bagi saya, ia rezeki yang buat saya boleh balik rumah tepat masa, jumpa keluarga. Itu sudah cukup membahagiakan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak Tapa, 56, yang mengendalikan mesin penyembur tekanan tinggi mengakui cabaran utama ialah longkang yang dipenuhi sisa makanan dari restoran.
“Kalau minyak dan lemak keras, ia jadi macam simen. Kadang mesin pun tak mampu tembus, kami kena turun sendiri ke dalam longkang untuk keluarkan,” katanya.

Selain itu, katanya ada juga penduduk menutup longkang dengan simen sehingga menyukarkan kerja pembersihan.
“Bila jadi begitu, kami terpaksa pecahkan semula. Perlu juga beri penerangan kepada penduduk kenapa ia perlu dilakukan. Walaupun susah, kami tetap puas hati sebab air mengalir semula,” katanya.
Bagi Ben, Mohd Hisham dan Abdul Razak, kerja mereka mungkin nampak kotor tetapi sebenarnya memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat.
“Selagi longkang bersih, jalan tidak banjir dan persekitaran terjaga, itu tanda khidmat kami sampai kepada rakyat,” katanya.