Media Selangor rekod peningkatan pembaca, perkukuh hubungan dengan pemegang taruh

21 Mei 2026, 12:00 PM
Media Selangor rekod peningkatan pembaca, perkukuh hubungan dengan pemegang taruh
Media Selangor rekod peningkatan pembaca, perkukuh hubungan dengan pemegang taruh
Media Selangor rekod peningkatan pembaca, perkukuh hubungan dengan pemegang taruh

SHAH ALAM, 21 MEI: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) merekodkan 3.78 juta pelayar setakat April tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 79 peratus daripada keseluruhan jumlah pembaca sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata pencapaian memberangsangkan itu hasil pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan syarikat bermula awal tahun ini.

“Maklum balas awal setakat ini, ramai yang berminat dengan produk Media Selangor yang baharu dan ramai juga memuji hasil kerja Media Selangor yang sudah membuat banyak penambahbaikan.

“Saya juga telah bentangkan data terkini dari sudut penonton dan pembaca yang telah meningkat. Kita terima hampir 79 peratus peningkatan pembaca yang telah hadir ke portal Media Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Bersama Pemegang Taruh anjuran Media Selangor di sebuah hotel di Seksyen 7 di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berucap ketika Majlis Jalinan Mesra Bersama Pemegang Taruh di Hotel Double Tree Hilton, I-City, Shah Alam pada 21 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam majlis berkenaan, Mohamed Fareed dan Ketua Pengarang Media Selangor Noor Azam Shairi turut membentangkan rancangan dan hala tuju jangka panjang agensi media rasmi Kerajaan Negeri itu.

Menurut beliau, majlis itu diadakan bagi memastikan pemegang taruh dapat menjadi sebahagian daripada perancangan serta rakan strategik Media Selangor.

Jelasnya, syarikat kini giat memperluaskan aktiviti perniagaan menerusi pelbagai perkhidmatan termasuk pengurusan acara, latihan dan konsultansi media selain produk paparan komersial.

“Selain menjadi media rasmi, kita juga mempunyai perkhidmatan seperti pengurusan acara, latihan dan konsultansi media, dan kita juga tawarkan bagi pengurusan krisis dan sebagainya.

“Untuk tahun hadapan kita akan perbanyakkan lagi supaya Media Selangor dapat mengembangkan lagi aktiviti perniagaannya,” katanya.

Ketua Hal Ehwal Korporat Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) Ts Hasnu Rizal Zakaria. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) Ts Hasnu Rizal Zakaria memuji pendekatan baharu Media Selangor khususnya dalam membantu mengetengahkan imej dan jenama syarikat.

“Saya nampak ada banyak pembaharuan. Apabila kita buat segmen seperti itu, jadi perkara yang ingin disampaikan itu lebih tepat. Lebih banyak sumber dan pandangan pihak lain yang boleh disatukan.

“Saya harap Media Selangor dapat teruskan usaha seperti ini kerana kita perlukan sahabat media. Dengan adanya platform Media Selangor, kita tidak perlu pergi jauh. Kami akan sentiasa menyokong Media Selangor,” katanya.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM) Mahfuzah Muhammad Tarmidi pula berkata Media Selangor kini memiliki dinamika tersendiri menerusi penawaran pelbagai perkhidmatan baharu.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM) Mahfuzah Muhammad Tarmidi. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, pakej perkhidmatan yang ditawarkan juga sangat kompetitif berbanding agensi media lain sekali gus berupaya membantu memperluas perkembangan perniagaan dan agensi terlibat.

“Saya rasa dari segi pakej yang ditawarkan sangat kompetitif dan ia perlu diambil peluang sebaiknya. Saya yakin, pelaporannya sangat telus dan jelas. Perkhidmatan yang ditawarkan juga sangat membantu kami,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.