Kutipan sisa lancar ketika Hari Wesak, sembilan PBT capai prestasi 100 peratus

3 Jun 2026, 10:00 AM
Kutipan sisa lancar ketika Hari Wesak, sembilan PBT capai prestasi 100 peratus

SHAH ALAM, 3 JUN: Perkhidmatan kutipan sisa domestik di Selangor terus berjalan lancar sepanjang cuti umum Hari Wesak apabila sembilan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) merekodkan prestasi kutipan 100 peratus setakat semalam.

KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan pencapaian itu mencerminkan kelancaran operasi kutipan yang diteruskan mengikut jadual sepanjang tempoh cuti umum bagi memastikan kebersihan kawasan perumahan dan awam sentiasa terpelihara.

Menurut syarikat itu, kutipan penuh direkodkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) masing-masing merekodkan kadar kutipan 98 peratus, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mencapai 96 peratus.

MPHS turut mengaktifkan satu zon tambahan pada sebelah petang bagi memastikan operasi kutipan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

Data berkenaan direkodkan setakat jam 3 petang semalam dan operasi kutipan masih diteruskan di kawasan terlibat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.