SUBANG JAYA, 8 DIS: Pembersihan pascabah di Hulu Langat dan Kuala Selangor yang dilaksana KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka selesai minggu ini.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata banyak sampah pukal yang masih tidak dikeluarkan penduduk sekali gus menyebabkan kesukaran operasi pembersihan.
“Operasi pembersihan pascabanjir sedang dilaksana di Taman Dusun Nanding di Kajang dan Kuala Selangor masih lagi belum selesai kerana rumah masih dinaiki air kerana banjir termenung.

“Di Shah Alam tinggal sedikit lagi begitu juga Subang Jaya selesai. Antara sampah pukal yang perlu penduduk keluarkan permaidani, tilam, barangan elektrik, mesin basuh, bantal dan almari.
“Kita berharap penduduk dapat bawa keluar barang supaya semua barangan rosak dapat dikutip. Jika mereka tidak bawa keluar, akan nampak seperti KDEBWM tidak selesaikan kerja,” katanya kepada Media Selangor.
Berikutan itu, beliau memaklumkan KDEBWM memberi tempoh sehingga minggu ini supaya mangsa banjir dapat keluarkan barang di kediaman masing-masing.
“Kita memang ada pasukan khas untuk kerja-kerja kutipan sampah pascabanjir dan penduduk boleh letakkan barangan yang rosak dihadapan rumah bagi memudahkan kerja.
“Selain itu, kita juga memastikan longkang dan parit bawah seliaan KDEBWM dibersihkan supaya tidak tersumbat dan air dapat mengalir,” katanya.

Untuk rekod, dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kuala Selangor dan Gombak bagi menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim berkata Sekolah Rendah Agama Pasangan, Kuala Selangor menempatkan 38 mangsa banjir manakala 51 mangsa tanah runtuh ditempatkan di Dewan Komuniti Orang Asli, Gombak.
Dua minggu lalu, hujan lebat beberapa hari mengakibatkan beberapa daerah di negeri ini dinaiki air iaitu Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Berikutan itu, hampir 3,000 mangsa terpaksa menumpang berteduh di PPS yang mana Kuala Selangor mencatatkan mangsa tertinggi.


