ad

Bayi lelaki maut, lapan cedera dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang

27 Sep 2025, 8:18 AM
Bayi lelaki maut, lapan cedera dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 11 pagi.

Beliau berkata sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dengan kekuatan tujuh anggota digegaskan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan, sebuah kereta Nissan X-Trail, sebuah Honda City dan sebuah Proton X70.

“Bayi lelaki berkenaan ditemukan tersepit di bawah Nissan X-Trail dan berjaya dikeluarkan pada 11.30 pagi namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang lelaki juga tersepit di bawah kenderaan sama berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tujuh lagi mangsa yang cedera dengan identiti belum dikenal pasti telah dibawa ke hospital oleh pihak KKM sebelum pasukan bomba tiba dan operasi tamat sepenuhnya pada 11.40 pagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.