KEMALANGAN PLAZA TOL BUKIT KAJANG: POLIS RAKAM KETERANGAN TUJUH INDIVIDU
KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Polis telah merakamkan keterangan daripada tujuh individu bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lepas, kata Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof.
Beliau berkata kertas siasatan kes juga telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala tindakan terhadap majikan pemandu lori berkenaan juga sedang diteliti bersama agensi berkaitan.
“Lori yang terlibat akan dihantar untuk pemeriksaan Jabatan Kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pada Khamis ini bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai keadaan mangsa yang masih dirawat di hospital, beliau memaklumkan seorang daripadanya telah dipindahkan ke Hospital Putrajaya, seorang masih dirawat di Hospital Kajang, manakala seorang lagi telah dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Kajang, semalam.
Beliau berkata pemandu lori terbabit yang direman bagi membantu siasatan pula akan dibebaskan dengan jaminan polis esok sementara menunggu laporan dan analisis lengkap.
Media sebelum ini melaporkan kemalangan pada Sabtu lepas itu melibatkan sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV), mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun serta menyebabkan tujuh individu cedera.
Tempoh reman pemandu lori berusia 42 tahun itu akan tamat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA