ad

SCEE25 menyatukan pemain industri kreatif, ruang kongsi inovasi, jana pendapatan

25 Sep 2025, 12:56 PM
SCEE25 menyatukan pemain industri kreatif, ruang kongsi inovasi, jana pendapatan
SCEE25 menyatukan pemain industri kreatif, ruang kongsi inovasi, jana pendapatan
SCEE25 menyatukan pemain industri kreatif, ruang kongsi inovasi, jana pendapatan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) menyaksikan nama besar seperti Todak Culture Sdn Bhd dan Les' Copaque bergandingan dengan syarikat baharu sekali gus menjadikannya platform menyatukan pemain industri negeri ini.

Acara julung kali itu bukan sahaja memperkenalkan inovasi baharu, malah memberi peluang generasi muda membina keyakinan untuk menceburi kerjaya dalam bidang tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture Sdn Bhd, Ir Ts Hakimi Haque berkata SCEE25 bukan sekadar ruang mempamerkan produk, namun ia juga membantu pembangunan industri e-sukan dan tingkatkan ekonomi negeri.

"Pencarian bakat e-sukan masih terhad kerana bidang baharu, tetapi penerimaan masyakarat semakin meluas," katanya kepada Media Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture Sdn Bhd, Ir Ts Hakimi Haque (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Todak Culture Sdn Bhd, Roslan Rashid

Bagi Ketua Pegawai Operasi Todak Culture Sdn Bhd, Roslan Rashid, kejayaan pasukan Selangor Red Giants membuka mata masyarakat terhadap potensi e-sukan dan tingkat keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak sertai bidang ini.

"Sokongan Kerajaan Negeri dan jabatan pendidikan memudahkan pencarian bakat berkualiti serta memperkasa program di Todak Academy," jelasnya.

Pengarah Animasi Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Nik Ahmad Rasyidi Nik Othman

Sementara itu, Pengarah Animasi Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Nik Ahmad Rasyidi Nik Othman berkata SCEE25 membolehkan syarikat kecil mengetengahkan perniagaan, sekali gus membantu melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Kami hadir ke ekspo ini sebagai syarikat yang berjaya dalam industri kreatif untuk memberikan sokongan kepada syarikat lain. Kehadiran kami diharap dapat menarik lebih banyak syarikat baharu untuk tampil dan membina nama dalam industri,” katanya.

Penerbit Experiential Design Team, Mahesh Ragupathy

Pandangan sama dikongsi Penerbit Experiential Design Team, Mahesh Ragupathy yang melihat SCEE25 sebagai peluang dan ruang untuk mendedahkan masyarakat dengan industri kreatif.

“Ekspo ini mampu mengubah persepi masyarakat bahawa industri kreatif mampu menjana ekonomi dan mempunyai masa depan cerah

“Pihak kami menfokuskan produk edutaiment yang menggabungkan pembelajaran dan hiburan," jelasnya.

Pengasas KL Sketch Nation, Ahmad Hakym Ahmad Hilmy

Dalam pada itu, Pengasas KL Sketch Nation, Ahmad Hakym Ahmad Hilmy berkata inisiatif menganjurkan SCEE25 membuka ruang kerjasama antara penggiat seni dan kreatif serta membantu memperluas penjenamaan ke peringkat global.

"Ekspo ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap produk tempatan dan menjadi sumber rujukan untuk mengetahui di mana lokasi produk Malaysia boleh didapati" ujarnya.

SCEE25 menjadi platform untuk mengangkat Selangor sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM20 bilion menjelang 2035.

Sepanjang dua hari berlangsung, program dianjur bersama Selangor Youth Community mengetengahkan enam pemangkin utama merangkumi pembangunan bakat, akses pasaran dan pembiayaan.

Bertemakan “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy”, program ini turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan infrastruktur, pemerkasaan digital dan pengukuhan aspek tadbir urus.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.