ad

Penggiat seni bukan lagi kerjaya tanpa masa depan, belia diseru teroka bakat

24 Sep 2025, 10:06 AM
Penggiat seni bukan lagi kerjaya tanpa masa depan, belia diseru teroka bakat
Penggiat seni bukan lagi kerjaya tanpa masa depan, belia diseru teroka bakat
Penggiat seni bukan lagi kerjaya tanpa masa depan, belia diseru teroka bakat
Penggiat seni bukan lagi kerjaya tanpa masa depan, belia diseru teroka bakat

SHAH ALAM, 24 SEPT: Ramai yang masih beranggapan penggiat industri seni tidak mempunyai masa depan cerah dan tidak mampu memperoleh pendapatan lumayan setanding kerjaya profesional.

Pengasas KL Sketch Nation Ahmad Hakym Ahmad Hilmy berkata pandangan lapuk tersebut sebenarnya tidak tepat, malah pemain sektor kreatif kini semakin diterima serta berkembang di seluruh dunia.

“Apabila kita sebut tentang seni, ramai yang kata tidak boleh buat duit. Sebenarnya bukan tidak boleh buat duit, tapi kita yang sendiri percaya bahawa kenyataan itu betul.

“Penggiat seni ini perlu cari sasaran pelanggan mereka dan bukan hanya sekadar buka gerai. Sebab itu kita perlu lakukan kerjasama, cari mereka yang turut sama berhubung dengan kita, seperti di hub seni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panelis dalam Forum Ketiga sempena penganjuran hari kedua Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Forum bertajuk Aktiviti Berpaksikan Rakyat: Hab yang Dipacu Komuniti untuk Perpaduan Sosial, Pembangunan Belia dan Peningkatan Ekonomi itu menampilkan Fanitsyara Kam Phon sebagai moderator.

Selain Ahmad Hakym, forum tersebut turut menampilkan tiga lagi panelis iaitu pengarah operasi Kota Jail, Zul Abas; Pengarah Kanan ThinkCity, Izan Satrina serta artis Filipina, Anna Karina Jardin.

Dalam pada itu, Zul Abas menasihatkan golongan belia meneroka semua potensi dan bakat diri sendiri sebelum membuat apa jua keputusan penting dalam pemilihan kerjaya.

Zul yang juga graduan dalam bidang kejuruteraan berkata, tindakannya menceburi sektor ekonomi kreatif merupakan sesuatu yang tidak dikesali selain memberikan cabaran baharu dalam kehidupan.

“Umur antara 17 hingga 19 tahun ini adalah amat penting. Ini waktu untuk anda teroka minat diri sendiri. Apabila kita lakukan apa yang kita minat, kita pasti akan berjaya,” katanya yang mula membuka Kota Jail pada Mac lalu.

SCEE25 anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) diadakan selama dua hari bermula semalam bagi mengumpulkan semua pemain ekonomi sekali gus menandakan permulaan era baharu pertumbuhan industri kreatif di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.