ad

Industri kreatif pemangkin ekonomi masa depan, perhebat pembangunan bakat muda - MB

11 Nov 2025, 1:00 PM
Industri kreatif pemangkin ekonomi masa depan, perhebat pembangunan bakat muda - MB
Industri kreatif pemangkin ekonomi masa depan, perhebat pembangunan bakat muda - MB
Industri kreatif pemangkin ekonomi masa depan, perhebat pembangunan bakat muda - MB

SHAH ALAM, 11 NOV: Industri kreatif yang kini semakin berkembang berupaya menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara sekiranya kerajaan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan bakat muda dan inovasi digital di seluruh negara.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sektor kreatif bukan sekadar melibatkan pembuatan dan perkhidmatan, tetapi turut merangkumi industri permainan elektronik (e-sukan), seni digital, dan teknologi inovatif, yang berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sebagai Panelis Seminar Pelaburan Utama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Royal Chulan Kuala Lumpur pada 11 November 2025. Foto Facebook Amirudin Shari

“Kita amat berbangga kerana Malaysia telah mengembangkan bakat tempatan dalam pelbagai bidang kreatif, termasuk projek Boboiboy, yang kini menjadi duta negara di peringkat antarabangsa.

”Ini menunjukkan bahawa kreativiti bukan sekadar hiburan, tetapi elemen strategik dalam pembangunan ekonomi masa hadapan,” katanya dalam Seminar Pelaburan Utama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Beliau menekankan bahawa pengiktirafan terhadap industri kreatif membolehkan negara membina ekosistem inklusif, menyatukan sektor pembuatan, kewangan dan perkhidmatan bagi memperkukuh ekonomi digital.

“Dengan memahami kekuatan dan nilai setiap sektor, serta menggabungkan usaha semua negeri dan pemerintah, kita mampu memastikan pertumbuhan berterusan dan menjadikan industri kreatif sebagai tonggak ekonomi negara,” katanya.

Langkah ini juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat, mendorong kreativiti, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan di masa hadapan.

Sebelum ini, Amirudin berkata kedudukan Selangor sebagai pintu masuk Asia dan gedung ekonomi negara mendorong pentadbiran negeri meneroka industri kreatif dengan lebih meluas.

Berucap ketika merasmikan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) pada 23 September lalu, Dato’ Menteri Besar yakin bahawa inisiatif itu bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta mencungkil bakat kreatif anak Selangor untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

SCEE25 menjadi platform untuk menjadikan Selangor sebagai hab kreatif serantau, dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM20 bilion menjelang 2035.

Selain itu, Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang memfokuskan teras multimedia, warisan dan seni budaya, dijangka dilancar sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bulan ini.