ad

CRE8Fund SCEE25 lonjak industri kreatif, Zulkifly Amirudin juara bawa pulang RM20,000

24 Sep 2025, 1:59 PM
CRE8Fund SCEE25 lonjak industri kreatif, Zulkifly Amirudin juara bawa pulang RM20,000

SHAH ALAM, 24 SEPT: Pertandingan CRE8Fund yang dianjur sempena Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) perlu diperbanyakkan lagi supaya lebih ramai penggiat seni mendapat manfaat.

Pemenang siri kali ini, Zulkifly Amirudin, pengasas platform media Zingy TV, berkata pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai itu membolehkan pemain industri jingga menggerak hasil karya mereka.

“Bila kerajaan Selangor buat program macam ini, ia membantu penggiat industri kreatif bukan hanya tertumpu kepada elemen digital sahaja.

“Hadiah dapat menyuntik modal untuk pembangunan syarikat dan produk mereka dan ia akan mendatangkan kesan yang lebih baik.

“Saya harap sangat program ini diteruskan supaya lebih ramai pemain industri terlibat. Ini akan membentuk ekosistem yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, beliau diumum sebagai pemenang utama selepas platform media hiburan kanak-kanak yang dibangunkannya menewaskan sembilan lagi peserta sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000.

Pemenang CRE8Fund, Hafiz Drahman pada Majlis perasmian penutup Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Hadiah kemenangan disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada majlis penutup SCEE25 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA dekat sini.

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaysia Kelantan, Hafiz Drahman, yang mendapat tempat kedua berkata CRE8Fund menjadi platform untuknya mengangkat warisan Batik Selangor kepada generasi muda.

Anak kelahiran Subang Jaya itu berkata, penguasaan teknologi moden dan canggih menyebabkan penghasilan budaya semakin terhakis.

“Jadi, saya manfaatkan dan gabungkan sektor pendigitalan dalam menghasilkan batik dan lihat potensi ini besar di Selangor.

“Program ini saya lihat satu peluang diberikan Kerajaan Negeri. Saya sertai dan kemukakan kepada juri. Alhamdulillah mereka suka dengan usaha saya ini,” katanya yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.

Dalam pertandingan ini, Patblas Studio mendapat tempat ketiga dan membawa pulang RM10,000 manakala tujuh lagi syarikat mendapat hadiah saguhati berjumlah RM5,000 seorang.

Penerima ialah Inwoven Studio, Creatinno Tech Plt, Big M Resources, Vivid Verse Sdn Bhd, Rimau Rights Sdn Bhd, Moteevasi Media Sdn Bhd dan Khaki Tech.

Secara keseluruhan, CRE8Fund menawarkan wang tunai berjumlah RM80,000 sebagai langkah awal penyediaan dana bagi membantu penggiat seni mendapatkan modal.

SCEE25 menjadi platform untuk mengangkat Selangor sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM20 bilion menjelang 2035.

Sepanjang dua hari berlangsung, program dianjur bersama Selangor Youth Community mengetengahkan enam pemangkin utama merangkumi pembangunan bakat, akses pasaran dan pembiayaan.

Turut ditekankan pada program bertema ‘Re:Imagine Selangor-Creativity is the New Economy’ adalah aspek kesiapsiagaan infrastruktur, pemerkasaan digital serta tatakelola yang mantap.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.