SHAH ALAM, 25 SEPT: Potensi kerjasama dengan gergasi pembinaan China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC) diyakini mampu melonjakkan kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi serantau serta mengukuhkan peranan negeri sebagai Pintu Gerbang ke ASEAN.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata syarikat yang tersenarai dalam Fortune Global 500 itu memiliki kepakaran terbukti dalam pembinaan infrastruktur berskala besar termasuk rel, pelabuhan, lebuh raya dan jambatan, sekali gus relevan dengan agenda pembangunan negeri.
“Rangkaian rel yang berkesan bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah merangsang pertumbuhan ekonomi sepanjang koridor, mengurangkan kesesakan, mempercepat logistik serta membuka peluang perniagaan baharu.
“Projek infrastruktur sebegini juga mewujudkan peluang pekerjaan teknikal dan pengurusan, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta memberi limpahan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi CCCC Song Hailiang bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan di Beijing, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor sebagai sebahagian daripada agenda mobiliti hijau dan rangkaian pengangkutan moden negeri.
Projek berkenaan kini berada pada fasa mengenal pasti strategi pembiayaan dan mencari rakan pelaburan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mampan serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“Selangor memiliki asas kukuh untuk menyokong pelaburan antarabangsa menerusi Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab logistik utama, selain ekosistem perniagaan yang rancak.
“Kekuatan ini bukan sahaja menyokong kemasukan pemain global, malah mengukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai pelancar pertumbuhan serantau. Insya-Allah, kerjasama sebegini akan memberi manfaat besar kepada keluarga dan generasi muda negeri ini,” jelasnya.
Lawatan yang memasuki hari kelima itu merupakan sebahagian misi perdagangan dan pelaburan rasmi kerajaan negeri ke China dari 23 hingga 30 September.
Delegasi Selangor turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.