SHAH ALAM, 1 JULAI: Jajaran Rel Kita Selangor dicadang menghubungkan zon perindustrian, perumahan serta hab pengangkutan utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Subang, Pelabuhan Klang dan Pulau Carey.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata rangkaian rel bersepadu tersebut bakal menjadi tunjang kepada aspirasi Selangor untuk muncul sebagai peneraju industri aeroangkasa dan logistik serantau.
“Antara sorotan utama adalah cadangan projek Rel Kita Selangor, yang bertujuan untuk mempertingkatkan keterhubungan di seluruh Lembah Klang dan menjadi 'missing link' dalam merealisasikan potensi penuh Taman Aero Selangor (SAP)," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Industri Rel Negeri Selangor yang menghimpunkan pemain utama dalam sektor rel bagi menyelaras matlamat pembangunan infrastruktur Selangor.
Menurut Amirudin, mesyuarat tersebut penting berikutan kedudukan negeri yang menempatkan sebahagian besar rangkaian rel utama, sekali gus menjadikan Selangor sebagai hab kritikal dalam ekosistem pengangkutan negara.
Beliau turut berpeluang mendengar beberapa pembentangan menarik berkenaan inisiatif rel yang sedang dilaksanakan, termasuk Pelan Tindakan Bakat Rel Selangor oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).
“Langkah ini amat penting dalam membina ekosistem rel yang bersedia untuk masa depan bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah menyokong agenda pembangunan bakat, transformasi industri dan kemajuan yang inklusif untuk Selangor dan Malaysia,” katanya.
Pembinaan Jajaran Rel Selangor dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun yang akan dilaksana secara berperingkat melibatkan pelbagai fasa.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Amirudin mengumumkan pembangunan jajaran Rel Kita Selangor yang akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM3 juta.
Pada Februari lalu, EXCO mobiliti Ng Sze Han berkata kajian kebolehlaksanaan projek rel berkenaan telah mengenalpasti jajaran sepanjang 200km dengan empat cadangan jajaran sokongan iaitu di Pelabuhan Barat, Klang; Putra Heights, dan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.