SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri akan terus mendapatkan pandangan orang ramai serta pihak berkepentingan sebelum memuktamadkan jajaran projek Rel Kita Selangor.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata cadangan jajaran sedia ada masih belum dimuktamadkan dan boleh disesuaikan mengikut maklum balas yang diterima sepanjang proses perancangan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri komited memastikan setiap pandangan diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat bagi projek pengangkutan awam itu.
"Cadangan jajaran rel itu memang sudah ada, tetapi ia belum dimuktamadkan. Kita masih boleh membuat pelarasan berdasarkan pelbagai pandangan yang diterima," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Business Linkages and Advancement Programme (BLAST) di sini hari ini.
Sze Han berkata sesi libat urus turut akan diadakan sekiranya pelaksanaan projek berkenaan melibatkan pengambilan tanah.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan proses pembangunan dilaksanakan secara telus selain mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat.
Rangkaian Rel Kita Selangor diwujudkan bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di Selangor sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Projek itu juga dijangka melengkapkan sistem rel sedia ada menerusi hubungan ke kawasan yang masih kurang menerima perkhidmatan, selain mengukuhkan rangkaian antara kawasan kediaman, komersial dan perindustrian serta integrasi dengan sistem pengangkutan awam semasa.
Semalam Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, jajaran pertama Projek Rel Kita Selangor yang menghubungkan kawasan selatan negeri dijangka mula dibangunkan tahun depan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri kini berada di peringkat akhir memuktamadkan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut beliau, kawasan selatan dipilih sebagai fasa permulaan berikutan permintaan tinggi terhadap penggunaan pengangkutan awam di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Sze Han memaklumkan sambutan terhadap inisiatif subsidi pengangkutan RM30 yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sangat menggalakkan.
"Sambutan sangat baik. Ketika ini kami sedang menunggu Rapid On-Demand menyertai inisiatif itu yang dijadual bermula pada 1 Ogos," katanya.







