SHAH ALAM, 12 OGOS: Lebih 40 syarikat kontraktor berdaftar di Selangor berjaya memperoleh tender bagi projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di empat negeri mencecah RM3.58 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.18 bilion adalah pelaksanaan ECRL di Selangor, kata EXCO Mobiliti.
Menurut Ng Sze Han, pencapaian itu membuktikan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti ECRL turut memberi limpahan ekonomi kepada industri dan syarikat tempatan.
"Penyertaan lebih 40 syarikat kontraktor berdaftar di Selangor dengan nilai tender sekitar RM1.18 bilion membuktikan bahawa manfaat Projek ECRL bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan infrastruktur rel.
"Sebaliknya, ia turut membuka ruang besar kepada industri dan syarikat tempatan untuk berkembang," katanya ketika menjawab soalan wakil rakyat Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari berhubung projek ECRL dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Sze Han berkata penglibatan syarikat Selangor dalam projek jajaran ECRL juga mencerminkan keupayaan kontraktor tempatan untuk bersaing dalam projek berskala besar.
Katanya, Kerajaan Selangor bersama Kerajaan Persekutuan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utama ECRL sentiasa menggalakkan penyertaan syarikat tempatan yang berkelayakan menerusi proses perolehan yang telus dan kompetitif.
"Setakat ini penyertaan kontraktor tempatan merangkumi pelbagai pakej kerja termasuk kerja awam, pembekalan bahan binaan, utiliti, perkhidmatan profesional serta kerja sokongan.
"Ini menunjukkan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing dalam projek berskala besar serta mengambil bahagian dalam rantaian bekalan industri rel," katanya.
Tambahnya, peluang yang diwujudkan melalui projek itu bukan sahaja membantu meningkatkan kapasiti industri tempatan, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang aktiviti ekonomi di negeri yang terlibat dengan jajaran ECRL.
Dalam pada itu, beliau berkata peluang kepada syarikat tempatan dijangka terus dibuka apabila ECRL memasuki fasa operasi kelak.
Katanya, antara bidang yang berpotensi menawarkan peluang baharu ketika fasa operasi termasuk penyelenggaraan, pengurusan fasiliti, perkhidmatan sokongan dan pengisian ruang niaga di stesen.
"Kerajaan Negeri terus menyokong usaha memperluas penyertaan syarikat tempatan termasuk dalam fasa operasi ECRL kelak khususnya dalam bidang penyelenggaraan, pengurusan fasiliti, perkhidmatan sokongan dan aktiviti komersial di stesen.
"Kita mahu ECRL bukan sahaja menjadi penghubung baharu antara wilayah tetapi turut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh kapasiti industri tempatan untuk jangka panjang," katanya.








