SHAH ALAM, 25 SEPT: Polis Selangor meningkatkan operasi bagi membanteras pemandu mabuk dan perlumbaan haram yang dikenal pasti antara punca utama kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) diberi penekanan sebagai barisan hadapan menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di jalan raya, lapor Sinar Harian.
“Operasi terhadap pemandu mabuk, perlumbaan haram dan kecuaian pengguna jalan raya perlu dipertingkatkan selain memperkasa program pendidikan pencegahan.
“Polis memandang serius insiden kemalangan terutama membabitkan samseng jalanan serta kes berpunca daripada kecuaian individu,” katanya.
Beliau menambah, beberapa lokasi panas sudah dikenal pasti JSPT Kontinjen Selangor sebagai kawasan perlumbaan haram dan tindakan tegas bakal diambil bagi membanteras budaya negatif itu.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kemalangan melibatkan warga PDRM menurun 26.09 peratus setakat Ogos tahun ini iaitu 34 kes berbanding 46 kes pada 2024.
“Masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi peraturan jalan raya serta mengelakkan sebarang aktiviti jenayah. Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perkara yang mencetuskan ketidaktenteraman dan kegusaran awam,” katanya.