AMPANG JAYA, 25 SEPT: Sebanyak 16 tempat pembiakan di premis kediaman ditemui, empat notis kebersihan dan tiga kompaun sejumlah RM1,000 dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan denggi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pangsapuri Berembang Indah di sini, semalam.
Timbalan Yang Dipertuanya Hasrolnizam Shaari berkata operasi membabitkan 120 anggota antara pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya serta KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan 145 unit kediaman diperiksa.
“Tujuh kompaun dikeluarkan untuk jenis kesalahan gagal pastikan premis dalam keadaan bersih, wujud haiwan perosak seperti lipas, lalat, tikus hingga menyebabkan pembiakan jentik-jentik dan tiada suntikan typhoid.

“Pemeriksaan turut dilakukan di enam premis makanan dan kedai runcit di pangsapuri dan tujuh kenderaan lama turut disita sebagai langkah pencegahan awal pembiakan nyamuk,” katanya ketika ditemui selepas operasi.
Tambahnya lagi, MPAJ akan terus memantau tahap kebersihan di pangsapuri tersebut yang menjadi satu-satunya kawasan titik panas denggi dengan merekodkan tujuh kes setakat semalam dalam tempoh 45 hari wabak.
“MPAJ juga melihat aspek keseluruhan kerana denggi ini berpunca dari amalan kehidupan iaitu penjagaan tahap kebersihan memandangkan di sini banyak didiami warga asing yang menjalankan perniagaan.
“Jadi kita akan terus membuat pemeriksaan dan jika perlu tindakan lanjut terutama melibatkan aktiviti premis perniagaan di pangsapuri ini. Selain itu, semakan dalam operasi ini juga mendapati terdapat peninggalan barang lama seperti kenderaan buruk yang telah disita,” ujarnya lagi.