SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 1,614 kes demam denggi dengan satu kematian direkodkan di Kuala Langat setakat Minggu Epidemiologi (ME) ke-45 tahun ini, berakhir 15 November lalu.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat memaklumkan Taman Seri Putra, Banting dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) denggi dengan 19 kes dilaporkan di sekitar Jalan Jelawat.
Menurutnya, empat lagi lokaliti dikategorikan sebagai wabak terkawal, iaitu Taman Yayasan, Jenjarom; Jeti Sri Tama, Pulau Carey; Laman Aspirasi, Bandar Sungai Emas serta Taman Indah Jaya, TPG.
“Nyamuk Aedes boleh membiak di mana-mana kawasan kediaman, sama ada rumah teres, kuarters, pangsapuri, rumah kampung mahupun rumah banglo,” menurut hebahan situasi semasa denggi daerah berkenaan menerusi Facebook.
Berdasarkan maklumat itu, Jeti Sri Tama mencatatkan tiga kes, manakala Taman Yayasan, Laman Aspirasi dan Taman Indah Jaya masing-masing merekodkan dua kes.
Sementara itu, Selangor mencatatkan 34,820 kes denggi dengan 33 kematian bagi tempoh sama.
Pada peringkat kebangsaan, sebanyak 83,152 kes dilaporkan dengan 72 kematian direkodkan sehingga ME ke-45.
Sehubungan itu, PKD Kuala Langat menyeru masyarakat supaya meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa kawasan dalam dan luar rumah bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Penduduk turut dinasihatkan membuang bekas yang berpotensi menakung air, memastikan tiada air bertakung serta menjaga kebersihan persekitaran kediaman.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi PKD Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2355.







