KUALA LUMPUR, 24 NOV: Belum pun sebulan rakyat Malaysia menarik nafas lega selepas berakhirnya bencana jerebu, satu lagi ancaman bermusim tiba, dibawa Monsun Timur Laut yang hadir bersama-sama dengan hujan lebat dan banjir, mendedahkan masyarakat kepada pelbagai risiko kesihatan.
Saban tahun, bencana itu menyaksikan ribuan penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di mana mereka berdepan dengan pelbagai situasi, termasuk gangguan sistem sanitasi, selain keadaan sesak berisiko meningkatkan penularan penyakit berjangkit.
Leptospirosis, demam kepialu, kolera dan denggi, antara penyakit yang kerap dilaporkan semasa musim tengkujuh. Selain itu, kes jangkitan saluran pernafasan juga berisiko meningkat, sementara haiwan liar yang kehilangan habitat, termasuk ular dan tikus, membawa risiko tambahan kepada masyarakat.
Justeru, dalam persiapan menghadapi musim tengkujuh, masyarakat juga perlu memahami penyakit dan bahaya lain yang datang bersama-sama dengan banjir serta mengambil langkah pencegahan sebelum, semasa dan selepas air surut.
Risiko penyakit berjangkit semasa banjir
Pakar perubatan kesihatan awam dan pensyarah perubatan Universiti Putra Malaysia Dr Siti Aisah Mokhtar berkata banjir boleh mendedahkan masyarakat kepada beberapa risiko penyakit berjangkit secara serentak, khususnya apabila air banjir mencemari bekalan air, makanan dan persekitaran rumah.
Mengulas lanjut, beliau berkata denggi, malaria dan leptospirosis mempunyai cara penularan yang berbeza, justeru, masyarakat perlu memahami bagaimana seseorang boleh terdedah kepada jangkitan berkenaan.
Katanya, leptospirosis ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Leptospira dan dikaitkan dengan sentuhan pada air atau tanah yang tercemar oleh air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus.

Individu yang meredah banjir atau membersihkan rumah tanpa perlindungan mencukupi berisiko bersentuhan dengan air atau lumpur tercemar, sekali gus terdedah kepada jangkitan leptospirosis, terutama jika mempunyai luka yang terdedah.
Beliau berkata sampah domestik dan sisa makanan yang tidak diurus dengan baik turut boleh menarik kehadiran tikus. Jika tikus berkenaan dijangkiti, air kencingnya boleh mencemari tanah dan sumber air di sekitarnya.
“Denggi pula disebarkan melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti virus denggi. Selepas banjir, bekas makanan terbuang, longkang tersumbat dan kawasan lain yang menakung air boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Risiko penularan penyakit ini boleh berterusan walaupun penduduk sudah kembali ke rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel.
Beliau berkata kejadian banjir yang semakin kerap, termasuk di kawasan yang lazimnya tidak dilanda bencana itu, mampu mendedahkan lebih ramai penduduk kepada risiko penyakit berjangkit.
Mengenai malaria yang disebabkan oleh parasit zoonotik Plasmodium knowlesi dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles tertentu yang dijangkiti parasit berkenaan daripada monyet, khususnya primat seperti beruk dan kera, Dr Siti Aisah berkata takungan air yang terbentuk selepas banjir boleh menjadi tempat pembiakan bagi sesetengah spesies nyamuk Anopheles, terutamanya di kawasan luar bandar, hutan dan ladang.
“Namun begitu, banjir tidak semestinya menyebabkan penularan malaria meningkat. Arus air yang deras juga boleh menghanyutkan larva nyamuk. Oleh itu, kesannya bergantung pada keadaan persekitaran setempat dan spesies nyamuk yang terdapat di kawasan berkenaan,” katanya.
Wabak kolera, kepialu
Pensyarah kanan di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Rafidah Lani pula berkata selain leptospirosis, wabak demam kepialu dan kolera turut menjadi kebimbangan apabila bekalan air bersih terganggu akibat banjir.
Katanya, penyakit berkenaan boleh merebak dengan cepat di kawasan yang dilanda banjir, terutama apabila penduduk mempunyai akses terhad kepada air minuman yang selamat dan kemudahan sanitasi yang sempurna.
“Kesannya boleh menjadi serius, daripada kemasukan ke hospital untuk tempoh yang panjang hinggalah menyebabkan kematian. Keadaan ini menggariskan kepentingan langkah pencegahan,” katanya.

Dr Rafidah berkata penyakit bawaan udara, khususnya jangkitan saluran pernafasan, juga cenderung meningkat ketika musim tengkujuh, dan di peringkat global, musim monsun dikaitkan dengan peningkatan kejadian penyakit di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
“Perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem memburukkan lagi keadaan ini, sekali gus menambah cabaran kepada sistem kesihatan awam,” katanya.
Ancaman haiwan liar
Selain penyakit berjangkit, banjir turut meningkatkan kemungkinan pertembungan manusia dengan haiwan liar, khususnya apabila kenaikan paras air memaksa haiwan seperti ular meninggalkan habitat asal untuk mencari tempat berlindung.
Steven Wong, jurupandu alam semula jadi dan hidupan liar serta bekas penyelaras Kumpulan Minat Khas Herpetofauna Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), berkata ular merupakan sebahagian daripada persekitaran bandar dan luar bandar di Malaysia dengan pergerakan haiwan itu dipengaruhi oleh perubahan cuaca bermusim dan ketersediaan habitat yang sesuai.
“Ular boleh menjadi lebih aktif ketika musim kering apabila mencari sumber air, manakala banjir memaksa haiwan ini mencari tempat yang lebih kering, termasuk kawasan perumahan,” katanya kepada Bernama.
Wong berkata antara spesies yang mungkin ditemukan penduduk ialah ular tidak berbisa seperti ular cicak atau ular sampah (Lycodon capucinus), ular tikus (Coelognathus radiatus) dan ular sawa batik (Malayopython reticulatus).
Spesies berbisa seperti ular tedung senduk (Naja kaouthia) dan ular tedung selar Sumatera (Naja sumatrana) juga berkemungkinan ditemukan apabila reptilia ini terpaksa berpindah apabila sarang dinaiki air.
“Walaupun spesies ini berbisa, ular-ular tersebut tidak semestinya mendatangkan ancaman serta-merta jika tidak diganggu.
“Seperti hidupan liar lain, haiwan ini hanya berjuang untuk terus hidup ketika keadaan persekitaran berubah,” katanya.

Bagi penduduk yang menemukan ular di dalam rumah selepas banjir surut, Wong menyarankan mereka membuka pintu dan tingkap bagi membolehkan haiwan itu keluar dengan sendiri.
“Penduduk perlu mengelak daripada menghampiri, mengepung atau cuba menangkap ular yang tidak dikenal pasti spesiesnya. Sebaliknya, dapatkan bantuan penyelamat hidupan liar terlatih atau pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Langkah pencegahan
Sementara itu, pakar berkata risiko kesihatan akibat banjir boleh diminimumkan menerusi langkah pencegahan yang dilaksanakan tepat pada masanya serta kerjasama antara pihak berkuasa kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat yang terjejas.
Dr Siti Aisah menyarankan agar pihak berwajib memanfaatkan data pemantauan penyakit sedia ada bersama-sama dengan penilaian risiko banjir untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan memperkukuh langkah pencegahan.
“Masyarakat juga perlu digalakkan membersihkan sampah dan bekas yang boleh menakung air hujan, manakala PPS hendaklah dilengkapi bekalan air minuman yang selamat, tandas mencukupi, kemudahan mencuci tangan serta pengurusan makanan yang bersih.
“Ketika banjir, penduduk perlu mengelakkan sentuhan dengan air banjir jika tidak perlu, melindungi luka yang ada dan menggunakan peralatan perlindungan yang sesuai ketika membersihkan kawasan tercemar.
“Selepas air surut, sisa runtuhan, sampah dan air bertakung perlu dibersihkan dengan segera bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk serta risiko pendedahan kepada penyakit berjangkit,” katanya.

Dr Rafidah pula berkata pihak berkuasa kesihatan perlu menyesuaikan langkah kesiapsiagaan dengan perubahan bermusim dalam pola kejadian penyakit, memandangkan hubungan antara iklim dengan kesihatan semakin ketara. Langkah proaktif diperlukan bagi mengurangkan risiko berkenaan, katanya.
Menegaskan bahawa pencegahan merupakan asas utama untuk mengurangkan kesan penyakit berkaitan monsun, beliau berkata orang ramai perlu memastikan air minuman dimasak sehingga mendidih atau dirawat dengan kaedah yang sesuai semasa dan selepas banjir.
“Amalan penjagaan respiratori yang baik, termasuk memakai pelitup muka di kawasan sesak dan memastikan pengudaraan dalaman yang baik, dapat membantu mengurangkan penularan jangkitan saluran pernafasan.
“Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami gejala seperti demam, batuk atau keletihan luar biasa bagi mengelakkan komplikasi,” katanya.
Beliau berkata Monsun Timur Laut merupakan fenomena tahunan, namun risiko kesihatan yang datang bersama-sama dengan monsun itu boleh dikurangkan melalui tindakan kolektif.
“Kempen kesedaran awam, penglibatan masyarakat dan pematuhan garis panduan kesihatan merupakan antara langkah penting untuk melindungi nyawa sepanjang musim ini.
“Dengan mengutamakan langkah pencegahan dan sentiasa berwaspada, rakyat Malaysia dapat menghadapi cabaran musim tengkujuh sambil meminimumkan ancaman penyakit bawaan air, bawaan vektor dan bawaan udara,” katanya.








