SHAH ALAM, 9 SEPT: Kes denggi di seluruh negara meningkat 66 peratus kepada 65,979 kes sehingga Minggu Epidemiologi ke-35 tahun ini berbanding 39,616 kes bagi tempoh sama pada 2025.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata jumlah kematian akibat penyakit itu turut melonjak 93.8 peratus kepada 62 kes berbanding 32 kes tahun lalu, lapor MalaysiaGazette.
Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini, sekali gus menunjukkan usaha membendung penularan denggi perlu dipertingkat terutama di kawasan zon merah dan wabak.
“Setakat Minggu Epidemiologi ke-35, kita melihat peningkatan sebanyak 66 peratus kes berbanding minggu sama pada 2025.
“Pada tahun lalu, sebanyak 39,616 kes direkodkan, manakala tahun ini jumlahnya meningkat kepada 65,979 kes,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai pencapaian program pembiakan nyamuk Wolbachia yang dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk Punca Jaya.
Katanya, nyamuk Wolbachia membantu menghalang perkembangan virus denggi sekali gus mengurangkan keupayaan nyamuk Aedes menyebarkan penyakit itu.
Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti semburan kabus atau ‘fogging’ perlu dilaksanakan dengan teliti kerana ia turut boleh membunuh nyamuk Wolbachia.
“Nyamuk Wolbachia mampu menghalang virus denggi daripada berkembang dan seterusnya mengurangkan keupayaan nyamuk Aedes menyebarkan virus.
“Namun, nyamuk Wolbachia boleh terbunuh akibat proses fogging,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, antara langkah yang dibincangkan ialah mempergiat gotong-royong secara besar-besaran bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Beliau berkata keutamaan perlu diberikan kepada kawasan zon merah serta lokasi yang sedang berdepan wabak denggi.
Fahmi turut menggesa kerjasama masyarakat setempat bagi memastikan usaha membendung penularan denggi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.







