ad

Kanak-kanak mangsa jenayah seksual mesti dilindungi, pelaku perlu bertanggungjawab

24 Sep 2025, 1:18 PM
Kanak-kanak mangsa jenayah seksual mesti dilindungi, pelaku perlu bertanggungjawab

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual perlu dilindungi sepenuhnya dan pelaku mesti bertanggungjawab mengikut undang-undang, kata EXCO Kebajikan Masyarakat.

Menurut Anfaal Saari, pihak berkuasa perlu melihat lebih mendalam punca berlakunya situasi tersebut dan mengutamakan perlindungan kepada mangsa bukannya mewajarkan tindakan pelaku.

“Dalam konteks ini, ada sesetengah kategori kes yang dilaporkan itu adalah secara suka sama suka tetapi kita perlu lihat dengan lebih mendalam mengapa kejadian tersebut berlaku terhadap kanak-kanak perempuan yang terlibat.

“Perkara yang paling penting adalah untuk kita melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan dan pelaku itu perlu mengambil tanggungjawab penuh atas perbuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Bicara Semasa terbitan Media Selangor, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini mencadangkan mangsa turut dikenakan tindakan sekiranya hubungan seks bawah umur dilakukan secara suka sama suka.

Mengulas lanjut Anfaal menegaskan kenyataan tersebut dianggap bercanggah dengan definisi undang-undang berkaitan rogol statutori di Malaysia dan sesuatu cadangan dalam isu yang melibatkan keselamatan serta masa depan kanak-kanak perlu dilakukan dengan cermat.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata individu bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual sama ada secara rela atau suka sama suka tidak sepatutnya dihukum, sebaliknya perlu dilindungi dan diberi bimbingan serta pemulihan.

Nancy berkata mereka berhak mendapat peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.