KUALA LUMPUR: Hampir 15,000 laporan berkaitan eksploitasi dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh 2021 hingga 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), angka berkenaan menjadi peringatan jelas mengenai ancaman yang wujud dalam dunia digital ketika ini.
Sebagai Pengerusi Majlis Sosial Negara, beliau menegaskan ancaman berkenaan mampu menyusup masuk ke ruang sosial negara dan memberi kesan negatif kepada generasi muda, khususnya kanak-kanak, lapor Berita Harian.
“Dalam dunia digital, cabarannya semakin mencabar. Wang boleh hilang dengan mudah akibat penipuan dalam talian, maruah tercalar kerana fitnah dan anak-anak pula terdedah kepada kandungan berbahaya.
“Ia satu peringatan bahawa ancaman sosial hari ini boleh memasuki ruang keluarga tanpa kita sedari,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026–2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026–2030, Ahmad Zahid mahu pelan itu menjadi penghubung antara dasar yang dirangka dengan realiti kehidupan rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar perlu memastikan tiada pertindihan bantuan, maklumat disampaikan dengan berkesan, kumpulan rentan tidak tercicir dan setiap intervensi benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
“Perubahan yang diperlukan ialah daripada dasar kepada tindakan, daripada program kepada penyelesaian dan daripada bantuan kepada pemerkasaan. Pada akhirnya, dasar sosial hanya bermakna apabila ia mampu mengubah kehidupan rakyat,” katanya.
Mengulas cabaran sosial yang semakin kompleks, beliau berkata landskap semasa kini tidak lagi bergerak secara linear kerana setiap isu saling berkait antara satu sama lain.
Menurutnya, tekanan ekonomi boleh membawa kepada tekanan emosi yang akhirnya memberi kesan kepada institusi keluarga.
“Keluarga yang rapuh memberi kesan kepada anak-anak, dan anak-anak yang tidak dibimbing dengan baik lebih terdedah kepada risiko sosial.
“Dalam aspek kesihatan mental, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 memberi peringatan jelas apabila hampir satu juta orang dewasa di Malaysia mengalami kemurungan.
“Lebih membimbangkan, satu daripada enam kanak-kanak turut berdepan masalah kesihatan mental. Ini bukan sekadar angka, tetapi menunjukkan ada suara yang sedang bergelut dalam rumah, sekolah, tempat kerja dan komuniti kita yang tidak selalu didengari,” katanya.








