SHAH ALAM, 9 OGOS: Reaksi awal ibu bapa boleh mempengaruhi proses pemulihan emosi anak yang menjadi mangsa rogol atau gangguan seksual, justeru mereka perlu kekal tenang dan mengelak daripada memarahi, menyalahkan atau menyoal siasat mangsa.
Pakar Psikologi Kaunseling Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa'ad berkata, keutamaan ibu bapa ialah memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat serta memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman tanpa tekanan.
"Peranan utama ibu bapa ialah menjadi tempat perlindungan, bukan menjadi penyiasat. Percaya dan sokongan ibu bapa boleh mempengaruhi proses pemulihan anak.
"Tindakan pertama ialah memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat dan dijauhkan daripada individu yang disyaki melakukan penderaan.
"Ibu bapa perlu kekal tenang dan jangan memarahi, menyalahkan atau bertanya soalan berulang-ulang seperti sedang menyoal siasat. Gunakan soalan terbuka dengan meminta mereka menceritakan selain jangan menjanjikan perkara ini akan dirahsiakan," katanya kepada Media Selangor.
Utamakan keselamatan, elak ganggu siasatan
Fauziah turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak bersemuka atau menghubungi individu yang disyaki melakukan penderaan kerana tindakan itu boleh membahayakan kanak-kanak, mengganggu siasatan atau menyebabkan bukti dimusnahkan.

"Bawa kanak-kanak mendapatkan pemeriksaan perubatan secepat mungkin, khususnya jika kejadian baru berlaku. Elak memandikan anak, menukar atau membasuh pakaian dan membersihkan tempat kejadian sebelum mendapatkan nasihat pihak berkuasa kerana mungkin terdapat bukti penting.
"Sokongan awal yang sensitif kepada trauma penting supaya kanak-kanak tidak mengalami trauma tambahan ketika membuat laporan dan menjalani pemeriksaan," ujarnya.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu menggalakkan anak meneruskan rutin harian mengikut kemampuan selain menghormati privasi mereka sepanjang proses pemulihan.
"Ibu bapa perlu menghormati privasi anak dan tidak menyebarkan identiti atau pengalaman anak kepada orang yang tidak berkaitan. Perlu bersabar kerana proses pemulihan setiap kanak-kanak adalah berbeza.
"Elakkan memaksa anak melupakan kejadian, mendesak anak menceritakannya berulang kali atau menunjukkan kemarahan yang melampau di hadapan anak," katanya.
Didik anak kenali sentuhan tidak selamat sejak kecil
Pada masa sama, Fauziah berkata pendidikan keselamatan tubuh perlu diterapkan sejak kecil menggunakan bahasa yang bersesuaian dengan umur sebagai langkah pencegahan awal terhadap jenayah seksual.
"Anak-anak perlu diingatkan tubuh mereka adalah milik mereka. Bahagian tubuh yang dilindungi pakaian dalam adalah bahagian peribadi dan mereka berhak berkata 'tidak' kepada sentuhan yang membuat tidak selesa.
"Mereka perlu segera menjauhkan diri dan memberitahu orang dewasa yang dipercayai. Rahsia yang menyebabkan mereka takut, sedih atau tidak selesa tidak perlu disimpan.

"Penderaan tidak semestinya dilakukan oleh orang asing, ia juga boleh dilakukan oleh orang yang dikenali. Ibu bapa perlu membina hubungan yang terbuka supaya anak yakin bahawa mereka boleh bercerita tanpa dimarahi," ujarnya.
Terdahulu, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari memaklumkan sebanyak 1,845 kes rogol membabitkan kanak-kanak direkodkan antara 2021 hingga tahun lalu, sekali gus menjadikannya jenayah seksual paling banyak dilaporkan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, jumlah kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 397 kes, diikuti 389 kes pada 2024, 376 kes (2025), 365 kes (2022) dan 318 kes (2021).
Menurutnya, amang seksual fizikal merupakan kesalahan kedua tertinggi membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan 1,654 kes direkodkan dalam tempoh sama, meningkat 70 peratus berbanding 2021.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 156 kes amang seksual bukan fizikal, 42 kes memiliki bahan lucah kanak-kanak dan 24 kes menghasilkan atau mengedarkan bahan lucah kanak-kanak direkodkan.








