Barangan yang tidak bernilai di mata kebanyakan orang sebenarnya mungkin membawa makna besar di tangan penggiat jurnal kreatif atau art journaling dalam menggarap kreativiti.
Baik kertas berlipat, palet warna pastel, gam mahupun helaian tisu barangkali menyimpan seribu satu kisah atau rakaman kehidupan yang boleh dijadikan elemen seni.
Tidak seperti lukisan konvensional yang bergantung kepada ekspresi visual semata-mata, jurnal kreatif menggabungkan imej, tulisan, warna, puisi dan kolaj. Ia seakan-akan rakaman emosi diri pengkarya.
Jurnal kreatif ibarat suatu evolusi diari tetapi lebih kepada visual dan terbuka kepada aneka bentuk. Dari catatan harian, seni berkenaan berupaya memberi gambaran suasana dan emosi.
Menurut Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Prof Madya Dr Mumtaz Mokhtar, karya tersebut boleh ditambah petikan kata yang dihiasai cat, lakaran dan bahan lain termasuk pita.
Ia juga bebas peraturan, tekniknya juga tiada batasan. Lukis apa jua pada halaman menggunakan sebarang warna atau rona. Sesiapa pun boleh menghasilkannya meski tiada latar belakang seni.
"Jurnal kreatif bersifat terapeutik. Bukan sekadar hasil seni tetapi cara memproses emosi dan mendokumentasi pengalaman hidup dengan indah serta peribadi.
"Kadang-kadang bila makan ke restoran, kita simpan tisu. Kemudian kumpul, tampal di buku. Memori itu boleh digambar dan diwarnakan dalam catatan jurnal sebagai bentuk kenangan," katanya.
Tidak seperti lukisan berbentuk abstrak, jurnal kreatif juga merangkumi apa sahaja, dari garisan geometri, setem, pelekat, lukisan bunga, corak, ilustrasi mahupun lukisan benang.
Kreativiti sedemikian sedikit sebanyak terpancar dalam pameran solo artis muda Jemima Saiful bertajuk Dreamscapes: Musings of a Soul dan Art Journaling 40450 antara 8 Oktober hingga 9 November.
Perasmian acara hasil kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM dan Artjamila Gallery disempurnakan EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Gabung puisi dan seni dalam karya
Jemima antara bakat muda yang mencipta nama dalam jurnal kreatif di negara ini. Nama popular lain antaranya Pooi Chin, Jane Lee dan Shin Yee. Karya mereka juga kerap dimuat naik ke media sosial khususnya Instagram.
Jemima yang gemar menggandingkan puisi dengan seni visual juga pernah menerima pengiktirafan lewat puisinya yang terpilih untuk The World Peace Project di Amerika Syarikat pada 2020 dan 2021.
"Saya bermula dengan cat minyak boleh larut air tetapi akhirnya lebih cenderung kepada akrilik. Saya memberi keutamaan kepada suasana dan resonans emosi berbanding representasi realistik yang ketat," katanya.
Justeru, karya tampil unik, tidak terikat dengan gaya realistik. Lebih bersifat penerokaan persepsi realiti yang tidak stabil iaitu tafsiran falsafah yang menyentuh soal batas realiti dan delusi.
Beliau yang berkelulusan bahasa dan sastera Inggeris menggunakan latar kesusasteraan untuk membentuk naratif visual yang puitis. Gabungan visual dan puisi dianggapnya sebagai suatu bentuk komunikasi.
Karyanya disertai puisi ringkas sekali gus menzahirkan konsep visi linguistik dan seni visual lalu membentuk makna baharu. Palet warnanya pula cenderung kepada nada, dipadu warna pelengkap yang berani dengan simbol emosi yang mendalam.

Inspirasi Jemima sebenarnya dari dunia falsafah, khususnya aliran eksistensialisme yang menyentuh persoalan erti kewujudan dan makna kehidupan, umpama cara manusia memandang dunia.
"Juga diilhamkan oleh seni lukis itu sendiri. Ketika saya hadir satu pameran, saya melihat lukisan dan mentafsirkannya dengan teliti. Pengkarya itu mengatakan tafsiran saya tepat.
"Saat itulah datang inspirasi kepada saya," katanya yang sedari sekolah rendah gemar melukis secara digital dan berjinak-jinak dalam lukisan tradisional sebelum terjun ke jurnal kreatif.
Pengalaman dalam pameran itulah mencetus minatnya untuk berkarya. Ia membentuk keyakinan betapa seni bukan sekadar paparan bentuk tetapi bahasa senyap antara pelukis dan penonton.
Bagi Jemima, setiap karya adalah ruang renungan semula seperti mimpi lucid yang merangkum warna, bentuk dan kata. Setiap penonton memperoleh inspirasi sama ada dalam bentuk seni atau pemikiran.
Tokoh yang mempengaruhi beliau antaranya Vincent van Gogh dan Odilon Redon, pelukis tersohor dunia yang terkenal dengan sapuan berus emotif dan warna yang kuat. Mereka membentuk pemahamannya tentang bagaimana emosi boleh diterjemah ke kanvas.
"Gabungan lukisan dan puisi saya. Saya ingin mencipta ruang untuk renungan dan pemikiran melalui karya saya. Sesuatu yang bersifat dreamy (bermimpi), seperti itu," kata Jemima lagi.
Justeru, gadis itu melakar apa sahaja. Tidak mahu mengehad kreativiti dengan batas peraturan, teknik atau butiran. Beliau mahu mencipta karya tanpa sedikit pun peduli pandangan orang. Pengalaman, cerita dan kenangan diluahkannya ke dalam puisi dan lukisan.
Sebenarnya, asas kepada jurnal kreatif bertitik-tolak kepada konsep menyimpan buku untuk mencatat pemikiran, lakaran dan eksperimen seni termasuk Leonardo da Vinci dan Vincent van Gogh.
Mereka menggunakan buku nota sebagai diari visual untuk mencatat idea, melatih kemahiran dan merekod pemerhatian. Ia dianggap bentuk awal jurnal kreatif sebelum seni itu berkembang dan menjadi lebih moden.
Dr Lucia Capacchione yang lahir pada 1937 dianggap pelopor bidang itu pada era moden. Beliau selaku ahli terapi seni, penulis dan perunding antara individu yang mempopularkan seni tersebut.
Penulis The Creative Journal: The Art of Finding Yourself dan Recovery of Your Inner Child itu juga terkenal dengan kaedah menulis dan melukis menggunakan tangan bukan dominan untuk penyembuhan emosi.
Selepas Dr Lucia, muncul pula Teesha Moore, Donna Downey dan Julie Fei-Fan Balzer yang cenderung kepada teknik seni campuran dalam jurnal kreatif. Danny Gregory dan Keri Smith pula lebih kepada pendekatan tradisional.
Berdasarkan situasi semasa, masa depan jurnal kreatif cerah dan perkembangannya mekar di serata dunia termasuk Malaysia rentetan peningkatan kesedaran masyarakat dalam isu kesihatan mental.
Ledakan teknologi digital pula meluaskan lagi capaian karya, dari kota metropolitan hingga ke ceruk desa. Bahkan, jurnal kreatif digital juga mula berkembang dan berevolusi dengan bantuan aplikasi tertentu.


