Galeri Shah Alam: Sejarah, cabaran dan harapan pemulihan pusat seni Selangor

10 Dis 2025, 10:00 AM
Galeri Shah Alam: Sejarah, cabaran dan harapan pemulihan pusat seni Selangor
Galeri Shah Alam: Sejarah, cabaran dan harapan pemulihan pusat seni Selangor

Tiga puluh empat tahun Galeri Shah Alam tertegak di Selangor. Pelbagai acara terutama pameran karya pelukis rentas generasi berlangsung di situ. Tidak kurang juga pertandingan, diskusi dan bengkel, bahkan program pendidikan diadakan pada sela masa tertentu.

Terletak di tengah-tengah pusat bandar raya, galeri tersebut menjadi saksi pengkarya menukangi kreativiti baik seni visual, seni rupa, seni arca mahupun seni bitumen.

Nyatalah, galeri itu hidup dan menghidupkan. Mekar dengan aneka kegiatan dan memberi nafas harapan buat kelompok pelukis tempatan, dari pengkarya muda hingga pelukis mapan.

Bukan sekadar bangunan. Galeri itu medan pengkarya muda melakar ilham, juga impian. Di situ jugalah pelukis mapan berkongsi siri karya baharu atau retrospektif perjalanan seni mereka.

Tokoh seni yang pernah mewarnai kegemilangan galeri itu antaranya pelukis diraja Datuk Azman Yusof, Dato’ Haron Mokhtar, Yusof Ghani, Syed Ahmad Jamal dan Datuk Hoessein Enas. Tidak terkecuali, Amron Omar - pelukis ikonik Siri Pertarungan.

Hampir 90 peratus karya beliau yang belum pernah diperaga kepada umum dapat disaksikan dalam Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan awal November lalu. Koleksi eksklusif milik Pakha Sulaiman itu termasuk lakaran potret untuk kulit novel terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Selain itu, ada satu lukisan awal yang dihasilkan Amron sebelum beliau mempelajari seni lukis secara formal. Justeru, pengunjung berpeluang meneliti perkembangan gaya beliau sebelum dan selepas mempelajari seni lukis.

Di mata Amron, galeri itu antara wadah penting yang membantu perkembangan kerjaya seninya, sejak menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hingga ke saat ini.

“Galeri Shah Alam sangat banyak membantu. Ruang dan peluang lebih terbuka di sini. Ketika itu, suasana seni meriah. Artis mendapat tempat, karya dihargai dan ramai kolektor hadir menyokong,” katanya.

Pembelian dalam program itu pula disumbangkan kepada Tabung Harapan bagi membantu ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan, sekali gus galeri tersebut menjadi jambatan dengan masyarakat.

Galeri ini juga menggabungkan pameran dua pengkarya terkenal iaitu Dr Hasnul Jamal Saidon, pelopor seni media baharu dan Yang Mulia (YM) Raja Shahriman Raja Aziddin, artis tersohor dalam seni arca logam pada Mei lalu.

Dr Hasnul menyatukan disiplin seni dan digital lewat karya menggunakan komputer, video, bunyi, internet dan pemasangan interaktif. YM Raja Shahriman pula terkenal atas keupayaannya mengubah logam berat kepada bentuk dinamik, anggun dan bermakna.

Dalam bulan sama, galeri itu membuat kelainan apabila menghimpun 16 artis bersama 56 karya seni bitumen, bahan yang digunakan dalam pembuatan jalan raya. Di Malaysia, pameran sedemikian jarang sekali diadakan.

Tahun lalu, banyak acara dijalankan antaranya Pameran Terbuka Galeri Shah Alam yang menampilkan 52 karya seni pelbagai tema mendapat sambutan ramai. Sebelumnya, bengkel seni arca kertas dan doodle turut dijalankan.

Festival Reka Bentuk dan Kraf pada 2022 juga tidak kurang gamatnya. Pameran inovatif, ceramah reka bentuk, bazar seni pop up dan persembahan muzik indie disukai anak muda penggemar seni.

Turut diadakan pada tahun sama, bengkel catan untuk kanak-kanak dan remaja, serentak bengkel seramik.

Pendek kata, galeri tersebut yang ditubuhkan Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan tidak sunyi dari kerancakan acara seni.

Perasmian galeri itu disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 6 Julai 1991.

Yayasan itu pula hasil ilham anakanda Baginda iaitu DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika menjadi Raja Muda Selangor.

Bangunan berbentuk Melayu tradisional itu direka bentuk Maimunah Deraman untuk Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor pada awal 1980-an sebelum Majlis Bandaraya Shah Alam mengubah suai premis tersebut.

Dimamah zaman

Pun begitu, galeri yang pernah meriah itu kini mula pudar ditelan masa. Banyak yang berubah. Seperti manusia, bangunan juga menua. Saban tahun, ia menunjukkan tanda-tanda keuzuran.

Sistem kawalan suhu tidak stabil dan risiko bocor menjadikan stor karya tidak selamat. Pameran berkurangan bukan kerana ketiadaan bakat tetapi tidak memenuhi piawaian pameran profesional.

Dahulu, setiap sudut dihidupkan oleh warna atau bentuk kreativiti, kini terbungkam sunyi. Bilangan pengunjung mengecil. Dari gah bertukar terlalu tenang daripada yang sepatutnya.

“Ada hampir 500 karya tetapi penjagaannya agak terhad susulan ruang yang kurang kondusif, sistem aliran terganggu, keuzuran dan kemudahan bangunan yang tidak sempurna,” kata Pemangku Pengarah Galeri Shah Alam Siti Nurani Adenan yang lebih dua dekad berkhidmat di situ.

Bagi sesebuah galeri seni, ruang penyimpanan bukan stor fungsinya sebaliknya sebuah arkib yang menghimpunkan sejarah, memori kolektif dan amanah masa depan.

Nostalgia tidak pernah luput. Pelukis merindui pameran tahunan yang dahulunya acara wajib.

Kurator dan pencinta seni pula memandangnya sebagai institusi penting yang perlu diselamatkan. Dalam resah, wujud harapan. Ramai percaya Galeri Shah Alam mampu kembali teguh berdiri.

Lebih-lebih lagi, masalah tersebut mendapat perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin yang terkenal meminati dunia lukisan.

Isu berkenaan termasuk cadangan menjadikan bangunan bekas Pusat Pemprosesan dan Pengedaran Matawang Shah Alam sebagai lokasi baharu galeri.

Sememangnya Baginda berwawasan supaya Selangor memiliki institusi balai seni bertaraf antarabangsa, berfungsi sebagai pusat pendidikan, pameran, dokumentasi dan inovasi seni visual.

Siti Nurani percaya inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh peranan galeri itu bahkan ia selari aspirasi Kerajaan Selangor untuk memperkasa sektor ekonomi kreatif dan budaya sebagai agenda pembangunan.

“Diharapkan lokasi baharu ini menjadi ruang pertemuan inklusif yang menyatukan penggiat seni, pelajar, pendidik, komuniti dan masyarakat dalam satu ekosistem kreatif yang meraikan tradisi, inovasi dan perpaduan budaya,” katanya.

Pemuliharaannya bukan sekadar isu estetika, tetapi berkait warisan dan masa depan. Harapan diletakkan supaya galeri itu kembali berfungsi sebagai pusat seni yang aktif. Mungkin galeri kini melalui fasa senyap, tetapi sejarah membukti semangat kecintaan pasti membangkitkan.

“Projek ini bukan sesuatu yang mudah. Ia melibatkan peruntukan besar dan bergantung kepada kelulusan negeri.

Meskipun begitu, semangat dan harapan galeri tetap tinggi agar impian Tuanku dapat direalisasikan demi masa depan seni,” katanya.