BANTING, 14 JUN: Golongan belia perlu memainkan peranan sebagai pelapis dalam memelihara dan memperkasa seni budaya negara khususnya berkaitan motif batik supaya warisan berkenaan terus relevan merentasi generasi.
Presiden Prispire Agency, Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shahirah Irsalina Shahril berkata usaha itu antara fokus utama penganjuran Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan seni dan budaya yang semakin kurang mendapat perhatian.
Katanya, program hasil kerjasama Jabatan Belia dan Sukan bersama 47 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan itu tercetus susulan kurangnya pendedahan terhadap aspek kebudayaan dalam kalangan belia.

“Kami mahu ketengahkan kesenian dan budaya kepada golongan belia dan melahirkan pelapis yang mampu meneruskan usaha mempromosikan warisan negara.
“Kami juga berharap golongan muda dapat mengaplikasikan budaya dalam kehidupan seharian, bukan hanya pada majlis tertentu, tetapi sebagai sebahagian daripada gaya hidup,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Shahirah berkata penghayatan terhadap seni budaya perlu dipupuk sejak usia muda supaya warisan negara dapat terus dipelihara dan dihargai generasi akan datang.
Sementara itu, Naib Presiden Prispire Agency, Muhammad Jihadi Mohd Mokhtar berkata penglibatan aktif golongan muda dalam program seumpama itu turut membantu membentuk ciri kepimpinan masa hadapan.
“Jika belia tidak mula belajar dan melibatkan diri dari sekarang, kita tidak akan bersedia untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut yakin golongan belia mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan negara sekiranya diberikan peluang dan ruang mencukupi untuk menyerlahkan potensi masing-masing.
Menurutnya, negara memerlukan lebih ramai anak muda yang aktif dalam bidang kebudayaan kerana mereka bakal menjadi peneraju yang memimpin masyarakat dan negara pada masa depan.












