PETALING JAYA, 1 JUN: Aktiviti seni bukan sekadar hobi bagi warga emas, sebaliknya menjadi ruang untuk mereka meluahkan perasaan dan mengurangkan rasa terasing daripada masyarakat.
Menyedari keperluan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menganjurkan Bengkel Seni Pastel Nagomi khusus untuk golongan berkenaan di Balairaya Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Mei.
Pengurusnya Somesvaren Sivanathan berkata bengkel itu turut membantu golongan berusia kekal aktif dan berinteraksi dengan komuniti melalui aktiviti seni yang santai dan mudah disertai.

"Kami ingin melakukan aktiviti yang dapat membuatkan mereka rasa selesa seperti di rumah dalam masa yang sama menggalakkan mereka untuk keluar dari rumah," katanya kepada Media Selangor.
Disertai lebih 50 warga emas, menurutnya, idea menganjurkan bengkel itu tercetus selepas beliau mengendalikan kelas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) di DUN tersebut, sebelum ini.
Somesvaren menambah kos penganjuran dianggarkan sekitar RM300 memandangkan bahan-bahan yang digunakan ditempah lebih awal untuk memastikan kelangsungan program berkenaan.
Sementara itu, kakitangan latihan industri pejabat DUN Bukit Gasing Nivee Ranjinath Muniandy berkata seni menghimpunkan masyarakat dan menggalakkan interaksi sosial dalam suasana santai.
"Walaupun tiada kemahiran atau bakat, saya percaya seni boleh dinikmati oleh semua orang tanpa mengira usia kerana pada akhirnya, seni itu sendiri adalah menyeronokkan," jelasnya.
Graduan ijazah sarjana muda Psikologi itu turut berpandangan aktiviti seperti itu wajar diadakan secara berkala kerana memberi peluang kepada ahli keluarga meluangkan masa bersama warga emas.












