SHAH ALAM, 24 SEPT: Negara dijangka memasuki fasa peralihan monsun hujung bulan ini sehingga November dengan peningkatan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutama pada sebelah petang hingga awal malam.
Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, cuaca lembap itu berlaku susulan kemunculan Taufan Ragasa dan ribut tropika Bualoi di timur Filipina serta Laut China Selatan, lapor Berita Harian.
“Kawasan berisiko tinggi membabitkan timur Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta timur Sabah. Jika berlaku luruan monsun kuat, negeri di barat Semenanjung selain beberapa bahagian Sabah dan Sarawak juga berpotensi terkesan,” katanya.
Beliau menegaskan keadaan cuaca ketika ini tiada kaitan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang hanya bermula awal November dengan corak hujan lebih kerap di negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak serta timur Sabah.
Menurutnya, tinjauan semasa mendapati taburan hujan bulanan sepanjang MTL 2025/2026 dijangka pada paras purata, kecuali di Sabah yang berisiko melebihi purata.
“Sepanjang fasa peralihan monsun, bencana lazim berlaku antaranya banjir kilat, petir, angin kencang, kepala air, hujan batu dan puting beliung. Bagaimanapun, kawasan perairan tidak begitu terkesan berbanding semasa MTL,” katanya.
Mohd Hisham memaklumkan MetMalaysia akan mengeluarkan amaran hujan berterusan antara satu hingga tiga hari lebih awal sebelum kejadian, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mengeluarkan amaran banjir.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyelaras tindakan dan pengurusan bencana sepanjang tempoh berkenaan.