SHAH ALAM, 23 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap kes buli membabitkan pelajar di bawah kendaliannya, termasuk di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.
Penegasan itu dibuat susulan tular rakaman video sekumpulan pelajar bertindak agresif terhadap seorang rakan pada 19 September lalu sekitar jam 4.30 petang.
Dalam kenyataan, KBS menegaskan tindakan buli amat serius kerana menyentuh aspek keselamatan, maruah dan disiplin yang menjadi asas kepada semua Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
"Selepas menerima laporan pada 22 September, pihak IKBN Miri segera mengambil langkah susulan dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan lanjut
"Tindakan disiplin tegas termasuk penggantungan atau dubuang akan iambil terhadap perlaku tertaluk kepada peraturan dann tatacara," jelas kenyataan itu.
Timbalan Menterinya Adam Adli Abd Halim melalui hantaran di Instagram turut menegaskan kementerian tidak sesekali berkompromi dalam isu buli.
Beliau memaklumkan pelaku telah dikenal pasti dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan diaktifkan, selain melibatkan pihak polis bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh.
“KBS memberi jaminan keselamatan, kebajikan dan maruah pelajar sentiasa menjadi keutamaan kementerian,” katanya.